Terima kasih rakyat, pekerja dan pelabur - PM

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Ekonomi Malaysia berkembang 5.8 peratus dengan mencatatkan pertumbuhan menakjubkan pada suku kedua tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumbuhan berkenaan luar daripada jangkaan biasa dan unjuran yang dikemukakan semua pihak.

“Dalam Ekonomi Madani kita janjikan peluang pekerjaan, latihan dan pemindahan teknologi yang lebih baik. Seterusnya ke arah digital dan transisi tenaga.

“Alhamdulillah, kita telah memecah kerunsingan dengan mencatat pertumbuhan menakjubkan 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini,” katanya menerusi satu hantaran video di laman sosial, Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.8 peratus pada suku tahun kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Itu anggaran awal yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Jumaat, pertumbuhan dicatatkan itu adalah tertinggi semenjak suku keempat 2022 (7.4 peratus).

Bagi separuh pertama tahun 2024, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 5.0 peratus berbanding 4.1 peratus pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menzahirkan penghargaan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

“Terima kasih kepada rakyat, pekerja, profesional dan pelabur. Ini akan memberi kesempatan kepada kita untuk bangkit sebagai negara gagah.

“Saya yakin dengan kerjasama dan tumpuan kita kepada pembangunan dan ekonomi, kita akan berjaya,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!