Sultan Brunei, Raja Bahrain berangkat ke Istiadat Pertabalan Agong
KUALA LUMPUR - Keakraban hubungan Malaysia dan Brunei terus terserlah dengan keberangkatan tiba Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara pagi ini.
Sultan Brunei yang baru sahaja menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-78 pada Isnin, berangkat tiba di Istana Negara bersama isteri Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha kira-kira jam 9.34 pagi.
Turut berangkat ke istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara itu ialah Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa, yang tiba pada jam 9.25 pagi.
Keberangkatan tetamu diraja luar negara itu disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil selaku Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong bersama isteri Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin.
Sebaik tiba, kedua-dua tetamu diraja dibawa ke Peterana Diraja di Dataran Istana Negara untuk menerima Hormat Diraja dan diikuti lagu negara masing-masing.
Sultan Hassanal Bolkiah dan Sheikh Hamad dijadual menghadiri Majlis Santapan Diraja di Istana Negara malam ini yang diadakan sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Istiadat pertabalan ini dihadiri kira-kira 700 tetamu termasuk raja-raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Anwar dan Jemaah Menteri, komuniti diplomatik asing di negara ini serta pemimpin-pemimpin utama negara.
Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!