Istiadat Pertabalan Agong: 14 laluan yang ditutup akan dibuka secara berperingkat
KUALA LUMPUR - Sebanyak 14 laluan sekitar ibu kota yang digunakan untuk Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Sabtu akan ditutup dan dibuka semula secara berperingkat.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kesemua laluan tersebut ditutup bermula jam 8 pagi tadi bagi melancarkan perjalanan kenderaan kerabat diraja serta orang kenamaan yang menghadiri istiadat pertabalan berkenaan.
Menurut beliau, penutupan secara berperingkat itu dilakukan semasa pergerakan kenderaan khas ke Istana Negara, namun akan dibuka semula seperti biasa apabila majlis selesai.
"Semua 14 laluan berkenaan ditutup secara berperingkat bermula 8 pagi ini sehingga selesai ketibaan semua orang kenamaan ke Istana Negara.
"PDRM akan buka semula jalan di ibu kota bagi melancarkan aliran trafik dan apabila majlis istiadat pertabalan akan tamat nanti," katanya pada sidang media di perkarangan Istana Negara pada Sabtu.
Kata beliau, 14 laluan berkenaan juga akan ditutup dan dibuka semula secara berperingkat bermula jam 8 malam ini (Sabtu) untuk Majlis Santapan Diraja yang akan turut berlangsung di Istana Negara.
"Kita harap orang ramai memberi kerjasama untuk memastikan kelancaran istiadat pertabalan hari ini.
"Kita lihat upacara hari ini sebagai peristiwa bersejarah kerana ia hanya dapat diadakan dan disaksikan lima tahun sekali," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama baik setakat ini dan mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak JSPT Kuala Lumpur dan Bukit Aman.
Tambah beliau, urusan kawalan lalu lintas di sekitar ibu kota sepanjang istiadat pertabalan berlangsung turut dibantu beberapa agensi lain termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Sepanjang tempoh upacara Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong bermula kelmarin sehingga 27 Julai ini, seramai 1,250 pegawai dan anggota JSPT ditugaskan menjaga kawalan lalu lintas dan pengiring orang kenamaan.
"Untuk istiadat pertabalan pada pagi ini, seramai 378 pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur dan Bukit Aman ditugaskan," katanya.
Mohd Yusri berkata, tiga tugas utama JSPT adalah mengiring kenderaan orang kenamaan, melancarkan perjalanan kenderaan orang kenamaan dan mengawal lalu lintas.
Untuk rekod, selain istiadat pertabalan pada hari ini, sebanyak tujuh acara diadakan sepanjang minggu ini sehingga 27 Julai nanti.
Ia dimulakan dengan majlis bacaan Yassin dan doa selamat di Masjid Negara dan diakhiri dengan acara Jamuan Teh Diraja di Istana Negara pada 27 Julai nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!