Guru berputih mata wang pinjaman, simpanan RM128,000 lesap
KUANTAN - Seorang guru wanita berputih mata apabila kerugian RM135,150 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Komunikasi Digital dan polis.
Lebih malang, mangsa berusia 25 tahun terpedaya hingga terpaksa membuat pinjaman peribadi RM128,000 sebelum wang tersebut dilesapkan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, nasib malang menimpa wanita itu bermula selepas menerima panggilan daripada suspek menyamar pegawai dari bahagian penyekatan rangkaian, Jabatan Komunikasi Digital pada 2 Julai lalu.
Menurutnya, mangsa dimaklumkan bahawa nombor telefon yang digunakan telah menyebarkan pautan yang tidak sah di kawasan Negeri Perak.
"Panggilan telefon tersebut kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek menyamar sebagai pegawai polis kononnya bagi tujuan siasatan.
"Suspek mengarahkan mangsa membuat pemindahan wang ke akaun diberikan bagi tujuan siasatan," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.
Yahaya berkata, bimbang berdepan tindakan undang-undang, mangsa akur dengan arahan suspek apabila membuat pinjaman peribadi RM128,000 dalam tempoh dua minggu untuk urusan itu.
"Mangsa juga menggunakan wang simpanannya dan telah membuat 11 transaksi bayaran ke enam akaun bank berlainan dengan jumlah keseluruhan RM135,150.
"Mangsa menyedari ditipu selepas membuat semakan melalui satu aplikasi berkaitan penipuan atas talian sebelum membuat laporan polis di sebuah balai di Rompin," katanya.
Yahaya berkata, orang ramai dinasihatkan agar membuat semakan dengan pihak polis atau agensi berkaitan sekiranya menerima panggilan yang meragukan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
"Orang ramai juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!