Padah bawa tangki tambahan isi RON95

Pikap yang ditahan kerana membawa tangki tambahan dipercayai untuk menyeleweng petrol RON95.
Pikap yang ditahan kerana membawa tangki tambahan dipercayai untuk menyeleweng petrol RON95.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya mengagalkan aktiviti penyelewengan bahan api petrol RON95 melalui Ops Tiris 3.0 di sebuah stesen minyak di sini, pada Jumaat.

Pengarahnya, RS Jegan berkata, serbuan dilakukan pada jam 9.15 malam dengan kekuatan empat anggota Penguat Kuasa KPDN Pulau Pinang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebuah pikap berwarna putih jenama Toyota Hilux mengisi minyak yang disyaki bahan api petrol RON95.

"Pemeriksaan lanjut mendapati pikap tersebut mempunyai sebuah tangki tambahan.

"Seorang lelaki warga tempatan berusia awal 30-an yang merupakan pemandu kenderaan berkenaan ditahan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Jegan berkata, antara barang yang dirampas selain kenderaan itu ialah satu unit tangki tambahan, tiga keping resit belian dan sebuah telefon bimbit jenama Vivo untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, nilai rampasan petrol adalah sebanyak 750 liter dianggarkan RM 1,537.50 menjadikan nilai anggaran barang rampasan keseluruhan berjumlah RM 37,337.50.

"Kertas siasatan bagi tindakan kes ini telah dibuka dan siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 112] bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan ini serta rantaian pengedaran bahan api petrol tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama untuk sesuatu pertubuhan perbadanan, manakala bagi orang perseorangan didenda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan pertama," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!