UMNO tunjuk bukti Jailani tandatangan perjanjian perwakilan calon
SHAH ALAM - UMNO menafikan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Muhammad Jailani Khamis tidak terikat dengan parti berkenaan susulan wakil rakyat itu sudah menandatangani satu perjanjian sebelum ini.
Perkara tersebut dibuktikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang berkongsi surat akuan perjanjian perwakilan calon ditandatangani Muhammad Jailani.
Beliau berkata, selain daripada tandatangan itu, setiap calon mempunyai akuan bersumpah yang perlu ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah dan dilihat oleh saksi.
Menurutnya, dalam akuan tersebut dinyatakan dengan jelas jika berhasrat untuk menukar parti atau tukar haluan daripada Barisan Nasional (BN), UMNO, MIC dan atau MCA atau termasuk hendak menjadi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebas, calon pilihan raya berjanji untuk meletakkan jawatan sebagai ahli BN, UMNO atau DUN supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat diadakan.
“Yang kedua membayar semula kepada BN berjumlah sebanyak RM100 juta. Ini ada kesannya, kita sudah ada kes Mahkamah Tinggi memutuskan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamarudin membayar RM10 juta,” katanya menerusi satu video dimuat naik di Facebook pada Sabtu.
Pada Selasa, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Muhammad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO sah menyertai Pas.
Katanya, kemasukan Muhammad Jailani ke parti itu berkuat kuasa Jun tahun lalu sebelum DUN Melaka meluluskan Akta Anti Lompat Parti yang dinamakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 pada 31 Julai 2023.
UMNO tahun lalu menggantung keahlian Muhammad Jailani selama enam tahun kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRK DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor.
Pada Mac 2020 lalu, Muhammad Jailani antara empat wakil rakyat PH di Melaka yang bertindak menyokong gabungan PN selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Adly Zahari sehingga kerajaan PH Melaka tumbang.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menekankan bahawa Perlembagaan UMNO menjelaskan perbezaan antara parti berkenaan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahupun Pas kerana ia dipinda sebelum Pilihan Raya Umum yang lalu.
Ujarnya, dalam perlembagaan itu menyatakan dengan jelas, mana-mana ahli yang menjadi ahli berdaftar parti politik lain, maka keahliannya gugur setelah disahkan oleh Majlis Kerja Tertinggi.
“Kedua, seseorang ahli UMNO akan tergugur secara automatik sekiranya ahli UMNO dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat atau DUN dan kemudiannya menyertai satu pakatan politik yang tidak dianggotai oleh UMNO atau memilih untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat atau DUN bebas.
“Jadi, tepuk dada tanya selera, sudah terhantuk baru nak terngadah. Kita jumpa di mahkamah,” katanya ringkas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!