‘Mahu buktikan pasukan paintball wanita boleh pergi jauh’
SUKAN ekstrem paintball yang kononnya sinonim hanya untuk kaum lelaki merupakan satu stereotaip yang salah kerana sukan ini sebenarnya terbuka kepada semua dan tidak membahagikan sebarang kategori jantina.
Lebih menarik, semakin ramai golongan wanita berani bermain sukan ekstrem berkenaan bagi membuktikan kemampuan bersaing dengan pemain lain, malah mereka mampu mengalahkan pasukan lelaki yang jauh lebih berpengalaman.
Seramai 10 wanita menyahut cabaran mewakili Malaysia buat pertama kali di Kejohanan Piala Dunia Persekutuan Paintball (UPBF) bagi kategori wanita yang bakal berlangsung di Dreux, Perancis pada 28 Ogos sehingga 1 September nanti.
Kapten Pasukan, Nurul Salwa Kamarul Zaman, 42, berkata, pemain wanita yang dipilih mewakili negara merupakan pemain paintball yang mempunyai minit permainan paling banyak dalam tempoh setahun yang lalu.
Selain itu katanya, pemain-pemain paintball wanita di negara ini juga boleh bersaing dan ia terbukti apabila mampu memperoleh kemenangan dalam pertandingan domestik serta di peringkat Asia.
“Pemain wanita ini juga dipilih berdasarkan kemampuan mereka dari segi kewangan kerana kita semua tahu paintball ini bukannya sukan yang murah.
“Bila kita pergi ke peringkat dunia, mestilah harapan kami mahu bawa pulang sesuatu. Saya nampak usaha setiap pemain ini mahu melakukan yang terbaik,” katanya.
Ditanya apakah kelebihan pasukan wanita ini berbanding pasukan wanita negara lain, Nurul Salwa berkata, pasukan Malaysia mempunyai pemain berpengalaman di samping pemain muda bertenaga yang berusia belasan tahun.
“Paintball adalah sukan berpasukan dan bukannya sukan individu. Segala komunikasi, strategi, pengalaman dan taktikal adalah penentu kemenangan. Insya-ALLAH kami akan buat yang terbaik di Perancis,” katanya.
Kata Nurul Salwa lagi, selain bertanding dalam kategori wanita bagi peringkat dunia, pasukan ini turut bertanding dalam Divisyen Empat yang juga disertai oleh lebih 20 pasukan dari seluruh Eropah.
“Dalam Divisyen Empat, tiada lagi kategori jantina. Semua lelaki dan wanita berlawan. Dalam divisyen ini, nama pasukan nanti adalah Thunderstorm,” katanya.
Jogging setiap hari selama satu jam
Sementara itu, Camun Wen, 33, berkata, dia berbangga apabila dipilih mewakili negara di kejohanan tertinggi dalam paintball.
Katanya, oleh itu, dia akan meningkatkan lagi latihan bagi memastikan stamina berada di tahap terbaik ketika kejohanan.
“Saya pastikan akan berlari selama 20 minit setiap hari. Setiap Ahad pula saya akan pergi berlatih paintball bagi mengenal pasti kelemahan yang masih ada.
“Walaupun kami sedar sukar untuk menang menentang pasukan profesional wanita dari negara lain, namun kami akan cuba beri tentangan terbaik,” katanya.
Selain Malaysia, kategori wanita turut ditandingi oleh pasukan dari Amerika Syarikat, Finland, Brazil dan tuan rumah Perancis. Tahun lalu, Amerika Syarikat memenangi kategori wanita dengan mengalahkan Perancis di peringkat akhir.
Masih kurang penyertaan dari wanita muda
Paintball masih tidak popular dalam kalangan wanita berbanding sukan lain seperti berbasikal, bola sepak dan futsal mungkin disebabkan ‘sengat’ apabila terkena bebola cat dan kesan parut yang mengambil masa untuk hilang.
Tetapi bagi mereka yang tegar, kesakitan terkena bebola cat ini ‘alah bisa tegal biasa’ dan ia bukan penghalang bagi meneruskan minat dalam sukan paintball.
Bagi pelajar tahun akhir Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) Mazarina Natasha Mat Nayan, 19, dia mula meminati sukan berkenaan apabila menyertai satu pertandingan beberapa tahun lalu.
“Sukan paintball ini seronok, sepatutnya lebih ramai wanita sertai sukan ini. Setiap kali menang atau berjaya ‘mematikan’ pihak lawan, satu kepuasan akan timbul.
“Tempat bermain paintball juga ada di seluruh negara, wanita-wanita di luar sana perlu mencuba sukan ini sekurang-kurangnya sekali seumur hidup,” katanya.
Seorang lagi pemain, Alya Johari, 18, berkata, ramai dalam kalangan rakannya beranggapan sukan paintball tidak sesuai dengan wanita kerana ia seolah-olah sukan berperang.
“Jangan ada anggapan begitu, sukan ini adalah sukan untuk semua. Wanita perlu keluar dari zon selesa dan sentiasa mencuba perkara baru.
“Jika ada beranggapan paintball ini sukan yang ganas, sukan ragbi juga ganas dan banyak pasukan wanita menyertainya,” katanya.
Kejohanan UPBF dibahagikan kepada lima kategori iaitu kategori lelaki, wanita, veteran, bawah 19 tahun (U19) dan bawah 16 tahun (U16).
Turut berlangsung di Dreux, Perancis adalah pertandingan NXL Eropah 2024 yang terbahagi kepada tujuh divisyen dengan lebih 50 pasukan berentap.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!