Ikrar Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17
KUALA LUMPUR - Sultan Ibrahim selamat ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam suasana penuh istiadat gilang-gemilang di Istana Negara yang merupakan lambang kemegahan sistem Raja Berperlembagaan di negara ini.
Sebagai melengkapkan istiadat pertabalan yang diadakan lima tahun sekali itu, Sultan Ibrahim melafaz ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Berikut adalah ikrar yang dilafazkan oleh Sultan Ibrahim:
"Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Bismillahirahmanirrahim.
Saya, Sultan Ibrahim bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah izin-Nya saya telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Dengan ini, saya akan menjalankan seadil-adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang-undang dan Perlembagaan negara serta memelihara dengan sempurnanya setiap masa agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negara”.
Selesai sahaja Sultan Ibrahim melafazkan ikrar, Balairung Seri bergema dengan alunan lagu Nobat Tabal yang dimainkan oleh kumpulan Nobat Diraja Perak diikuti laungan Daulat Tuanku sebanyak tiga kali dan lagu Negaraku, serentak dengan tembakan meriam sebanyak 21 das. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!