Pameran Hiasan Kepala Tradisional ASEAN di KL Sentral

Pameran Hiasan Kepala Tradisional ASEAN akan berlangsung pada 22 Julai hingga 24 Julai ini di KL Sentral.
Pameran Hiasan Kepala Tradisional ASEAN akan berlangsung pada 22 Julai hingga 24 Julai ini di KL Sentral.
A
A
A

SHAH ALAM - Pameran Hiasan Kepala Tradisional ASEAN akan berlangsung pada 22 Julai hingga 24 Julai ini di KL Sentral, sempena program ASEAN Heritage Train – Enhancing Connectivity towards Cultural Diversity.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam satu kenyataan memaklumkan, pameran itu adalah salah satu pengisian utama program berkenaan berkonsepkan replika ‘Dendam Tak Sudah’.

Program tiga hari itu akan mengetengahkan 23 hiasan kepala mewakili negara-negara ASEAN termasuk Malaysia bagi memperlihatkan kekayaan serta keunikan seni hiasan kepala negara yang terlibat.

“Ia adalah sebahagian daripada Program ASEAN Heritage Train yang bermula 9 hingga 26 Julai depan. Bagi menjayakan program ini, kita mendapat kerjasama daripada Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu dan World Culture Organization (WCO).

“Orang ramai akan dapat melihat hiasan kepala tradisional daripada negara-negara ASEAN termasuk destar Alam Melayu serta hiasan kepala seni persembahan pelbagai kaum.

“Majlis pelancaran pameran berkenaan akan diadakan pada 23 Julai ini dan dijangka disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing,” menurut kenyataan berkenaan.

JKKN menambah, program ASEAN Heritage Train adalah anjuran Bahagian Hubungan Antarabangsa Kebudayaan (HAK), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di bawah penyelarasan JKKN dengan kerjasama Persatuan Penggiat Pelancongan Senibudaya Warisan Kraf Negeri Selangor (PESTA) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad.

Program itu di bawah ASEAN Cultural Fund (ACF) dengan penglibatan penggiat seni budaya bidang seni persembahan, gastronomi dan kraf daripada sembilan negara ASEAN iaitu Brunei, Filipina, Indonesia,Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar,Thailand dan Vietnam.

Artikel Berkaitan:

“Ia akan merentasi tiga buah negara ASEAN iaitu Laos (9-14 Julai 2024) Thailand (15-20 Julai 2024) dan berakhir di Malaysia (20-26 Julai 2024) dengan menggunakan kereta api sebagai pengangkutan utama program.

“Penganjuran program ini melibatkan 40 delegasi termasuk pegawai daripada 9 negara ASEAN, dengan setiap negara ASEAN menghantar tiga delegasi yang terdiri daripada artis budaya, pendemo kraftangan dan chef kulinari tradisional,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!