JKDM terima 20 anjing pengesan dadah
NILAI - Sebanyak 20 anjing pengesan dadah jenis German Shepherd dan Labrador dari India diterima Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) baru-baru ini dalam usaha untuk membanteras kegiatan penyeludupan dadah.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, keseluruhan anjing pengesan dadah ini akan dikendalikan anggota JKDM dari seluruh Malaysia.
"Seramai 20 anggota JKDM yang ditugaskan untuk mengendalikan anjing pengesan dadah ini akan diberikan latihan bagi mengendalikannya secara profesional dan terlatih sebelum mereka menjalankan tugas di lapangan," katanya menerusi lawatan ke Unit K-9 Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM baru-baru ini.
Beliau berkata, lawatan berkenaan dijalankan bagi meninjau operasi dan keadaan bangunan pejabat itu di samping meninjau tempat penyimpanan anjing pengesan dadah tersebut.
"Saya turut diberikan taklimat ringkas oleh jurulatih profesional dari India yang pakar melatih anjing-anjing dengan latihan khas bagi penugasan khusus untuk mengesan dadah.
"Selain itu, pemeriksaan turut dijalankan terhadap keadaan kenderaan pacuan empat roda bagi kegunaan membawa APD yang dilengkapi dengan sangkar anjing berserta kabin dan sistem pengudaraan.
"Kelengkapan ini untuk memastikan keselamatan anjing jabatan adalah terjamin sepanjang tempoh pelaksanaan operasi pengesanan dadah," katanya.
Menurutnya, sebagai Ketua Pengarah Kastam, beliau perlu memastikan semua aset-aset jabatan, termasuk APD diurus mengikut tatacara yang digariskan, selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia AM 4.4 berkenaan Tatacara Pengurusan Aset Hidup Haiwan.
"Tinjauan ini turut memberi peluang kepada warga jabatan di lapangan untuk berinteraksi dan memberi maklum balas secara langsung kepada pihak pengurusan tertinggi jabatan di samping berkongsi beberapa informasi serta kekangan yang dihadapi di pejabat yang terlibat.
"Semoga seluruh warga JKDM dapat terus memikul amanah digalas dengan penuh dedikasi demi menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat serta negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!