Lebih RM3 juta kompaun kesalahan merokok, denggi sepanjang Jun - KKM

KKM mengeluarkan kompaun berjumlah lebih RM3 juta menerusi tindakan penguatkuasaan Undang-Undang Kesihatan Awam terhadap kes demam denggi dan rokok sepanjang Jun lalu. Foto hiasan
KKM mengeluarkan kompaun berjumlah lebih RM3 juta menerusi tindakan penguatkuasaan Undang-Undang Kesihatan Awam terhadap kes demam denggi dan rokok sepanjang Jun lalu. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kompaun berjumlah lebih RM3 juta menerusi tindakan penguatkuasaan Undang-Undang Kesihatan Awam terhadap kes demam denggi dan rokok sepanjang Jun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975, sejumlah 3,218 kompaun bernilai RM1,609,000 dikeluarkan dengan purata RM500 setiap denda.

“Sebanyak 606 kes didaftarkan untuk tindakan mahkamah dan dalam masa sama, 66 kes disabitkan kesalahan dengan jumlah denda RM112,280.00

“Sementara itu, melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, sejumlah 13,163 notis kesalahan dikeluarkan daripada 25,924 premis yang dilawati dengan 5,951 kompaun berjumlah RM1,468,650.00 diberikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Muhammad Radzi, sebanyak 6,824 premis makanan diperiksa dan 189 daripada jumlah itu diberi perintah penutupan sementara di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Ujarnya, tindakan penutupan itu dikuatkuasakan oleh KKM sebagai satu langkah bagi menjamin kebersihan premis dan makanan yang dihidangkan.

“Tindakan penguatkuasaan merupakan pilihan terakhir yang diambil oleh kami.

“Orang ramai diminta untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan pelaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!