400 lori cantik berhimpun di Tok Bali
PASIR PUTEH - Lebih 400 lori cantik berjaya dihimpunkan sempena Tok Bali Karnival Nasional Truck Cantik Kelantan 2020 yang berlangsung di Tok Bali di sini kelmarin.
Penganjur karnival, Hali Deraman berkata, program julung kali diadakan itu melibatkan penyertaan pelbagai jenis lori dari negeri pantai timur bermula jam 7.30 pagi sehingga 6.30 petang.
Menurutnya, kemeriahan karnival cukup terasa apabila lori-lori dihias dengan kreativiti pemiliknya untuk menarik perhatian juri sebagai lori tercantik yang bukan hanya mengambil kira penampilan warna menarik sebaliknya turut mengutamakan ciri-ciri keselamatan dan kebersihan.
“Biasanya sekitar 100 lori sahaja terlibat dan dibuat dalam skala kecil tetapi kali ini kami berjaya membawa lebih 400 lori dari serata tempat.
“Selain mencantikkan lori, program ini juga dilaksanakan sebagai inisiatif untuk mendidik pemiliknya menjaga kebersihan dan ciri-ciri keselamatan,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Penyelaras Koordinator Gabungan Grup Truck Malaysia, Yuganu Yunus.
Sementara itu, Yuganu mengharapkan acara tersebut dapat dijadikan sebagai program tahunan dalam usaha mendidik pemilik trak menjaga keselesaan, kebersihan dan juga ciri-ciri keselamatan.
Bagi Muhammad Nasir, beliau menyambut baik program tersebut kerana dilihat berupaya mengukuhkan perpaduan antara rakyat tanpa mengira negeri sekali gus mampu membentuk keharmonian sejagat.
“Program ini bukan sahaja melibatkan golongan tua tetapi generasi muda yang sentiasa berada di jalan-jalan. Mereka menjadi ejen kepada permuafakatan.
“Hubungan sesama mereka sangat kuat. Semangat inilah yang kita perlukan untuk melihat tanah air kekal harmoni dalam kepelbagaian kaum kerana program ini bukan sahaja disertai orang Melayu tetapi turut disertai orang India,” katanya.
Pada karnival tersebut, penganjur mengumumkan lori dimiliki Samiun Mohd Nor, 48, sebagai juara keseluruhan dengan membawa pulang trofi dan baucar bernilai RM1,000.
Lori dimiliki Che Muhammad Shaminuddin, 25, pula dipilih untuk pemenang utama bagi karnival tersebut dengan membawa pulang piala dan baucar.
Selain lori cantik, penganjur turut memberikan hadiah kepada kenderaan memiliki pagar paling tinggi, warna unik, paling kreatif, pelekat terbanyak, pemandu otai dan juga kategori standard.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!