Usul Perwakilan UMNO Alor Setar ada justifikasi tersendiri - Mahdzir

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

PADANG TERAP - Usul Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar untuk melantik Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Kemajuan Negeri Kedah mempunyai justifikasi tersendiri.

Mahdzir berkata, kewujudan jawatan berkenaan adalah bertujuan untuk melancarkan pembangunan Persekutuan di Kedah.

"Saya ingat itu (usul terbabit) suara UMNO, bagaimana untuk berkolaborasi dalam urusan pembangunan Persekutuan di Kedah, maknanya koordinasi.

"Ini kerana apabila projek pembangunan datang ke Kedah, pusatnya ICU (Pejabat Pembangunan Negeri Kedah) kemudian bila nak turun yang sambut di bawah itu JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) tetapi perantaraan itu tiada," katanya ketika ditemui di Mesyuarat Agong Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di sini pada Sabtu.

Mahdzir (kanan) menyerahkan sijil Jasamu Dikenang kepada seorang veteran UMNO pada Sabtu.
Mahdzir (kanan) menyerahkan sijil Jasamu Dikenang kepada seorang veteran UMNO pada Sabtu.

Menurut beliau, kewujudan jawatan terbabit bukan berniat untuk mengganggu projek pembangunan yang dilaksanakan.

"Bukan untuk ganggu projek, nak penyelarasan projek sahaja. Katakanlah projek di Padang Terap, Baling atau Langkawi, kita tidak tahu siapa yang mengendalikan atau menyelaraskan.

"Locus standi tiada, parti politik pun tak boleh tanya pasal pembangunan. Jadi saya rasa itulah justifikasi usul berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar meluluskan usul menggesa Mahdzir dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Kemajuan Negeri Kedah.

Usul yang dibawa oleh Timbalan Ketua Bahagian Alor Setar, Syed Abdul Hafiz Syed Mustapa itu diluluskan sebulat suara oleh perwakilan semasa mesyuarat agung tahunan bahagian yang diadakan di Bangunan Tunku di Alor Setar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!