[VIDEO] 'Arwah pernah bergurau akan meninggal dunia pada hari Jumaat'

A
A
A

ALOR SETAR - Remaja lelaki yang rebah sebelum meninggal dunia ketika hendak menyaksikan perlawanan Piala FA antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Jumaat pernah bergurau tentang kematiannya.

Ibunya, Normiza Md Noor, 43, berkata, anak kedua daripada empat adik beradik itu, Muhammad Danish Hakim Muhammad Zahir,18, ada bergurau dengan kakaknya, Nur Nafisa,19, bahawa dia akan meninggal dunia pada hari Jumaat.

Selain itu, menurutnya, anak lelakinya yang mesra dengan panggilan abang juga bergurau bahawa dia mungkin tidak akan hidup lagi sampai tahun depan dan seolah-olah dia tahu masanya akan tiba tidak lama lagi.

"Muhammad Danish Hakim suka bergurau dan amat disayangi cikgu-cikgunya. Dia pernah kata pada cikgunya, sekiranya dia meninggal dunia, pasti cikgunya akan merinduinya.

"Selain itu, dia juga pernah bergurau memaklumkan dia akan viral (tular). Cikgu tanya balik viral pasal apa, dia (Muhammad Danish) gelak-gelak," katanya ketika ditemui di kediamannya di Alor Senjaya, di sini,pada Sabtu.

Beliau berkata, mereka memang tidak menyangka gurauan Muhammad Danish akan menjadi kenyataan apabila meninggal dunia pada hari Jumaat dan tular di media sosial seperti dikatakannya.

Normiza berkata, anaknya yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah memang menghidap penyakit jantung berlubang yang serius sejak lahir.

Artikel Berkaitan:

Normiza menunjukkan gambar Muhammad Danish sambil ditemani Muhammad Farish (kanan) ketika ditemui di kediaman mereka di Alor Senjaya, di sini, pada Sabtu. Gambar kecil: Muhammad Danish Hakim
Normiza menunjukkan gambar Muhammad Danish sambil ditemani Muhammad Farish (kanan) ketika ditemui di kediaman mereka di Alor Senjaya, di sini, pada Sabtu. Gambar kecil: Muhammad Danish Hakim

"Pada 1 Januari lepas, dia tiba-tiba batuk berdarah dan perlu menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selama seminggu.

"Ketika itu, doktor memaklumkan keadaan Muhammad Danish makin serius dan keluarga perlu bersedia pada bila-bila masa serta memberi layanan terbaik sekali gus memenuhi segala permintaannya.

"Jadi, saya benarkan apabila dia (arwah Muhammad Danish meminta kebenaran untuk menonton perlawanan bola sepak bersama adiknya, Muhammad Farish Zakuan, 15, dan seorang lagi rakannya," katanya.

Normiza berkata, anak lelakinya itu amat meminati sukan bola sepak dan menyokong pasukan bola sepak terutamanya JDT dan KFA FC.

Menurutnya, Muhammad Danish juga berhasrat bermain bola sepak dan menjadi pemain bola sepak namun penyakit jantung berlubang dihidapi menghalang cita-citanya.

"Muhammad Danish kata jika dia tidak sakit, pastinya dia dapat bermain bola.

"Sebelum ini, adik arwah menyertai Kenari Kid namun hanya main-main dan dia marah adiknya. Dia cakap kalau dia sihat, pastinya dia main bersungguh-sungguh," katanya.

Tambah Normiza, dia membenarkan Muhammad Danish dan adiknya menonton perlawanan bola disebabkan sedar minat dan memahami keadaan anaknya itu

Kata Normiza, dia terkejut apabila menerima panggilan memaklumkan anaknya sawan secara tiba-tiba sebelum meninggal dunia, namun reda dengan pemergian Muhammad Danish.

"Kami telah berusaha memenuhi segala permintaan abang, malah dia pergi pada hari baik, jadi kami sekeluarga reda atas ketentuan Illahi," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang remaja rebah sebelum meninggal dunia ketika hendak menyaksikan perlawanan Piala FA antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!