[VIDEO] 'Kami tak gadai tanah, kami mahukan pembangunan'

A
A
A

KUALA LUMPUR - Majoriti penduduk Kampung Sungai Baru yang bersetuju projek pembangunan kawasan itu dan bukan mahu menggadai tanah pusaka sebaliknya untuk menaik taraf hidup demi kesenangan generasi akan datang.

Seorang pewaris, Hassan Zainal Abidin, 36, berkata, arwah bapanya membuat keputusan tepat untuk bersetuju mengadakan usahasama dengan pemaju bagi pembangunan kawasan itu.

Menurutnya, usahasama itu dapat meningkatkan taraf hidup dari kawasan kampung kepada kediaman lebih selesa yang akan menjadi nilai tambah kepada orang Melayu sendiri.

"Pewaris Kampung Sungai Baru sudah lama usahakannya sejak 2016 lagi untuk membangunkan Kampung Sungai Baru.

"Kawasan ini bukan rizab Melayu seperti tanah MAS sebaliknya tanah pajakan yang berbaki beberapa tahun sahaja lagi untuk tamat," katanya.

Pertemuan membabitkan majoriti pewaris yang menyokong pembangunan semula Kampung Sungai Baru. - FOTO: SINAR HARIAN/HALIM WAHID
Pertemuan membabitkan majoriti pewaris yang menyokong pembangunan semula Kampung Sungai Baru. - FOTO: SINAR HARIAN/HALIM WAHID

Susulan itu katanya, arwah bapanya serta beberapa penduduk memikirkan cara membangunkan kawasan itu susulan lokasinya yang strategik berhampiran KLCC.

"Penduduk sendiri yang mencari pemaju untuk bantu bangunkan kawasan ini. Penduduk yang bersetuju ditawarkan gantian sebuah rumah dengan keluasan dua kali ganda daripada asal.

Artikel Berkaitan:

"Jika rumah berkeluasan 400 kaki persegi, pemaju ganti rumah 800 ke 900 kaki di kawasan sama," jelasnya.

Dia berkata, bagi penduduk yang tidak bersetuju pula diberikan pampasan mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960.

"Orang yang setuju dengan usahasama pembangunan Kampung Sungai Baru adalah mereka yang berfikiran jauh dan memikirkan nasib generasi akan datang.

"Mereka yang membantah hanya dapat pampasan sahaja dan merekalah sebenarnya yang menjual tanah Kampung Sungai Baru, bukan kumpulan majoriti yang akan kekal tinggal di sana selepas projek ini siap kelak," katanya.

Pertemuan membabitkan majoriti pewaris yang menyokong pembangunan semula Kampung Sungai Baru. - FOTO: SINAR HARIAN/HALIM WAHID, gambar kecil dari kiri: Sanita, Hassan, Hazlina
Pertemuan membabitkan majoriti pewaris yang menyokong pembangunan semula Kampung Sungai Baru. - FOTO: SINAR HARIAN/HALIM WAHID, gambar kecil dari kiri: Sanita, Hassan, Hazlina

Seorang lagi penduduk, Hazlina Churai Mee, 52, berkata, dia marah digelar pembelot selepas bersetuju dengan pembangunan semula kawasan itu.

"Penduduk yang membantah adalah pembelot sebenar kerana memperjuangkan wang pampasan walhal ada yang terima wang ratusan ribu malah jutaan ringgit, namun masih tidak cukup.

"Kalau mereka dapat pampasan lebih tinggi mereka akan tinggalkan Kampung Sungai Baru. Bukan mereka duduk di situ, itukah namanya mempertahankan tanah Melayu?," soalnya.

Sebaliknya, Hazlina berkata, penduduk yang bersetuju dengan pembangunan itu tidak menjual tanah tersebut tetapi mahu memajukan tanah itu supaya tidak tinggal perumahan yang diibaratkan seperti 'reban ayam'.

"Keadaan flat Sungai Baru daif, telah berusia lebih 60 tahun. Ada penagih dadah yang menghisap dadah di tepi kawasan tangga rumah, takkan nak besarkan anak-anak di kawasan seperti itu?

"Itu yang kami perjuangkan dan kami perlukan pembangunan dan mahu kembali semula ke Kampung Sungai Baru. Bukan lepas dapat pampasan terus hilangkan diri," katanya.

Pada Sabtu, Persatuan Kebajikan Pemilik Harta Kampung Sungai Baru (PKPHKSB) serta Jawatankuasa Bertindak Kumpulan Majoriti Kampung Sungai Baru telah mengadakan pertemuan dengan pewaris tanah terlibat untuk sesi pencerahan berkenaan projek pembangunan kawasan itu.

Pengerusi PKPHKSB, Sanita Yunos berkata, pihaknya terpanggil untuk menjawab segala tuduhan tidak benar segelintir pihak terhadap pihak majoriti yang dilabelkan sebagai pengkhianat yang didakwa menjual tanah Melayu.

"Kita nak buktikan kumpulan majoriti ini tetap pendirian mahu kawasan ini dibangunkan. Kami ingin tegaskan bahawa pembangunan Sungai Baru ini tidak membelakangkan mana-mana pihak.

"Sebagai penduduk asal kampung ini, saya mohon mereka yang sudah menerima pampasan tetapi masih tinggal di situ untuk memberikan kerjasama.

"Saya mohon mereka beri laluan bagi melancarkan projek pembangunan ini supaya ia dapat dilaksanakan segera," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!