Difitnah halal arak, Aiman Athirah beri 48 jam turunkan hantaran
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun Facebook Md Nor Azam Yusof sekiranya beliau tidak menurunkan hantaran dan menghentikan sebaran fitnah dalam tempoh 48 jam.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu berkata, pasukannya sedang mengumpul semua maklumat dan berita palsu berkaitan.
"Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang. Jadi saya nasihatkan Md Nor Azam Yusof turunkan posting ini dan hentikan sebaran fitnah.
"Saya sama sekali tidak pernah menghalalkan arak tetapi malang sekali ramai pula kelompok takfiri yang menghalalkan fitnah dan menghalalkan percubaan jahat mengaibkan saya dengan fitnah," katanya menerusi laman Facebook pada Sabtu.
Sebelum itu, seorang pengguna media sosial, Md Nor Azam Yusof membuat hantaran poster di laman Facebook yang memaparkan gambar Aiman Athirah dan minuman keras dengan tulisan kapsyen 'biasa lah anak kelahiran roket'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!