Siasat ejen jual benih padi sah mahal

Siasat isu harga benih padi sah yang dijual ejen melebihi harga siling yang ditetapkan. Gambar kecil: Kar Hing
Siasat isu harga benih padi sah yang dijual ejen melebihi harga siling yang ditetapkan. Gambar kecil: Kar Hing
A
A
A

IPOH - Kerajaan menjalankan siasatan terhadap isu harga benih padi sah yang dijual ejen melebihi harga siling yang ditetapkan hingga membebankan pesawah.

Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian, Tan Kar Hing berkata, pesawah terpaksa beli benih padi sah pada harga mahal untuk musim semaian kali ini berbanding RM54 di peringkat pemborong dan RM58 di peringkat peruncit.

"Kerajaan telah menetapkan harga siling tetapi sekarang ada dua masalah berkaitan iaitu bekalan dan harga benih padi sah yang lebih mahal.

"Di Perak ada beberapa tempat apabila tiba musim menyemai, pesawah menghadapi masalah berkenaan hingga mengganggu jadual tanam padi.

"Inilah antara punca bekalan beras tempatan tidak cukup, kos naik dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita pada program Kursus Pegawai-Pegawai Keselamatan untuk Rumah Ibadat dalam Gua Batu Kapur di sini pada Sabtu.

Kar Hing (tengah) menyerahkan surat penghargaan kepada Timbalan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Perak, Borhan Mohamad (kanan) pada Kursus Pegawai-Pegawai Keselamatan untuk Rumah Ibadat Dalam Gua Batu Kapur di Ipoh.
Kar Hing (tengah) menyerahkan surat penghargaan kepada Timbalan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Perak, Borhan Mohamad (kanan) pada Kursus Pegawai-Pegawai Keselamatan untuk Rumah Ibadat Dalam Gua Batu Kapur di Ipoh.

Menurut Kar Hing, ahli jawatankuasa bersetuju akan mengadakan mesyuarat selama dua hari bermula 30 Julai ini untuk memperincikan masalah yang dihadapi pesawah di lapangan.

"Kita akan mengadakan perjumpaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil pesawah untuk tahu keadaan sebenar.

Artikel Berkaitan:

"Perjumpaan bersama agensi berkaitan akan dilakukan bagi memperincikan hal melibatkan pesawah seperti benih, baja, racun dan sebagainya berikutan isu ini telah berlarutan sejak puluhan tahun," katanya.

Pada masa sama, Kar Hing yang juga Ahli Parlimen Gopeng menggesa pesawah untuk menyalurkan maklumat berkaitan supaya tindakan lanjut boleh dilakukan.

"Jawatankuasa ini merupakan badan semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan.

"Apa-apa isu berbangkitkan, kita akan dokumenkan untuk dibentang dan dibahaskan di Parlimen. Ini penting bagi memastikan adakah dasar kerajaan ini efisien atau tidak," katanya.

Terdahulu, Kar Hing menerusi akaun TikToknya memberi amaran kepada ejen yang menjual benih padi sah dengan harga mahal selain memohon maklumat disalurkan menerusi emel parlimen.gopeng@gmail.com.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!