'Duduk di tebing, jangan pergi jauh'
JOHOR BAHRU - "Duduk di tebing, jangan pergi jauh." Itulah kata-kata terakhir Fazly Mohd Noor, 33, kepada lima anaknya sebelum salah seorang daripadanya lemas di kawasan anak sungai dekat Taman Pulai Perdana, Skudai pada petang Jumaat.
Nurul Umaierah Qolessya Sujak, 14, lemas manakala empat adik beradik yang lain berjaya diselamatkan.
Menurut Fazly, dia berkata begitu bagi mengingatkan lima anak yang mengikutnya ke anak sungai itu untuk memancing.
"Sampai sekarang saya masih terkejut dan tak sangka kehilangan Nurul Umaierah Qolessya atau lebih mesra dipanggil 'baby'.
"Saya tambah sedih apabila memikirkan 'baby' baru sahaja menyambut hari lahirnya Khamis lalu.
"Dia jugalah yang meminta untuk mengikut saya memancing dan mengajak kami semua berkelah semalam (Jumaat) sempena hari lahirnya," katanya kepada Sinar Harian.
Fazly berkata demikian ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada Sabtu.
Dalam kejadian sekitar jam 3.38 petang Jumaat, Nurul Umaierah Qolessya bersama empat lagi adik-beradiknya difahamkan sedang mandi dan memancing dengan keluarga di lokasi.
Bagaimanapun, difahamkan terdapat satu tempat yang dalam seperti kawah di kawasan anak sungai terbabit menyebabkan kesemua mangsa yang sedang mandi lemas.
Fazly kemudiannya berjaya menyelamatkan empat anak iaitu seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, seorang remaja lelaki (12 tahun) serta dua kanak-kanak perempuan berusia lapan dan lima tahun; namun gagal menyelamatkan mangsa yang berusia 14 tahun.
Mangsa kemudiannya ditemukan oleh anggota bomba pada jarak lebih kurang empat meter dari tebing.
Mangsa diberikan rawatan bantuan pernafasan (CPR) selama 40 minit sebelum pegawai perubatan yang berada di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Ketika kejadian difahamkan, tiga lagi adik-beradik melibatkan anak sulung perempuan berusia 21 tahun dan dua adik kembar perempuan masing-masing berusia 17 tahun tidak ikut sama.
Jenazah Nurul Umaierah Qolessya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Batu 26, Pekan Nanas pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!