JBPM terima 38 aduan kes penipuan guna nama jabatan
PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima 38 aduan daripada orang awam mengenai kes penipuan ‘scammer’ yang menggunakan nama jabatan itu sejak awal tahun hingga kini.
Dalam kenyataan pada Sabtu, JBPM memaklumkan ia melibatkan negeri Sabah (13 kes), Johor (tujuh kes), Terengganu (lima kes), Labuan, Pahang dan Selangor masing-masing tiga kes manakala Melaka, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis adalah satu kes.
"Antaranya ialah kes penawaran pemberian tender pembekalan seperti makanan bermasak, bahan mentah, tayar dan minyak enjin kenderaan serta jentera, juga pengeluaran surat pesanan makanan palsu, dengan menggunakan nama Ketua Balai Bomba atau Pengarah Bomba Negeri,” menurut kenyataan itu.
JBPM berkata, pihaknya memandang serius kes penipuan tersebut dan semua mangsa yang terlibat telahpun dinasihatkan untuk membuat laporan polis agar siasatan lanjut dapat dijalankan.
"Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka yang telah dihubungi oleh individu tertentu dengan membuat pelbagai tawaran menggunakan nama JBPM boleh merujuk kepada mana-mana Ibu Pejabat Bomba Negeri atau balai-balai bomba terlibat untuk mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan,” menurut kenyataan itu.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!