Pelancong China boleh batal tempahan bilik secara percuma
JOHOR BAHRU - Pelancong China diberi kelonggaran oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Johor dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Johor untuk membatalkan tempahan bilik secara percuma berikutan penularan wabak koronavirus ketika ini.
Pengerusi MAH Cawangan Johor, Ivan Teo berkata, pihaknya juga bekerjasama erat dengan Pejabat Konsulat Singapura ke Johor bagi memantau situasi kemasukan pelancong dari negara itu ke Johor pada masa sekarang.
“Hotel-hotel di bawah MAH juga mempunyai pengalaman dalam mencegah ancaman wabak SARS pada tahun 2003 dan kakitangan telah dilatih berkenaan prosedur kuarantin.
"Hotel-hotel juga telah menyediakan topeng muka dan cecair pembasmi kuman tangan di premis masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung berkata, pihaknya amat mengambil berat tentang perkembangan semasa berkait isu kesihatan ketika ini.
“Johor sebagai pintu masuk selatan ke Malaysia adalah sangat penting untuk menerima pelancong terutamanya melalui dua pintu masuk CIQ (Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin) Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar.
“Oleh itu, taklimat akan diadakan dari semasa ke semasa antara Jabatan Kesihatan Johor, agensi berkenaan dengan pemain industri pelancongan untuk memberi keterangan tentang protokol dan pendekatan yang perlu diikuti,” katanya
Cai Tung juga tidak menafikan situasi luar jangka ini sedikit sebanyak menjejaskan Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2020 dalam jangka pendek.
“Kami akan merumuskan strategi pelancongan setelah keadaan wabak ini dibendung. Saya berharap masyarakat bertenang dan berdoa agar pemulihan mangsa-mangsa yang dijangkiti virus ini, tidak mengira apa warganegara mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!