Pahang kutip hampir RM5 juta fi kelestarian daripada penghuni hotel

Pahang kutip hampir RM5 juta fi kelestarian daripada penghuni hotel. Gambar kecil: Leong Yu Man
Pahang kutip hampir RM5 juta fi kelestarian daripada penghuni hotel. Gambar kecil: Leong Yu Man
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang telah mengutip hampir RM5 juta fi kelestarian daripada penghuni hotel setakat Mei lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man.

Beliau berkata, kutipan itu akan digunakan semula untuk pembangunan sektor pelancongan di negeri ini kelak antaranya menyelenggara dan menaik taraf infrastruktur pusat tumpuan pelancong.

"Kita jangka jumlah itu (RM5 juta) akan bertambah terutama pada cuti sekolah nanti, dan sepanjang tahun lepas kerajaan negeri telah berjaya mengutip hampir RM10 juta fi kelestarian," katanya pada sidang media selepas merasmikan MATTA Fair Pahang 2024 di sini pada Sabtu.

Kerajaan Pahang telah menetapkan fi kelestarian pada kadar RM3 satu malam kepada penghuni hotel sejak 1 Januari 2022.

Yu Man memaklumkan hampir 2.8 juta pelancong telah mengunjungi Pahang setakat Mac lepas dengan 2.4 juta daripadanya merupakan pengunjung tempatan.

Sebanyak 360,313 pengunjung pula merupakan pelancong luar antaranya dari Singapura, Indonesia, China, Thailand, India, Jerman, United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Pengerusi MATTA Pahang, Chapter Alex Chea Sin Cheak berkata, pihaknya menyasarkan nilai jualan sebanyak RM500,000 sepanjang tiga hari bermula semalam menerusi acara tahunan itu yang berlangsung di Kuantan City Mall di sini.

Beliau berkata, program bertujuan mempromosi dan memperkasakan sektor pelancongan itu dijangka menarik 2,000 pengunjung menerusi 28 reruai yang mengetengahkan pelbagai pakej pelancongan domestik dan antarabangsa.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!