Tak sesuai bandingkan peruntukan terkini dengan terdahulu - Ahmad Samsuri
MARANG - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan perbelanjaan pembangunan yang disalurkan kepada Terengganu saban tahun tidak sesuai dibandingkan dengan peruntukan terdahulu.
Menurutnya, ia memandangkan perbelanjaan pembangunan yang diberikan Kerajaan Persekutuan turut melibatkan projek-projek yang memakan jangka masa panjang untuk disiapkan.
Justeru, katanya, tidak adil sekiranya pertambahan peruntukan pembangunan terkini yang disalurkan dibandingkan dengan peruntukan disalurkan kerajaan terdahulu.
"Perbelanjaan pembangunan atau 'development expenditure' yang dilaksanakan bukan berjalan dalam tempoh sehari dua, tetapi merupakan lanjutan daripada tahun sebelum-sebelum ini.
"Ada yang 'development expenditure' (perbelanjaan pembangunan) oleh kerana projek-projek tertentu ini memakan masa lima tahun, ada yang bermula pada 2016 atau 2017.
"Kalau kita nak kira daripada segi 'development expenditure' daripada yang lama-lama dan tumpu kepada tahun-tahun macam tahun ini umpamanya, saya rasa tidak begitu adil,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, baru-baru ini.
Ahmad Samsuri berkata demikian ketika ditanya mengenai peningkatan peruntukan pembangunan di Terengganu yang meningkat daripada RM5.99 bilion pada 2022 kepada RM7.23 bilion pada tahun ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, peningkatan peruntukan itu menunjukkan bahawa dakwaan kerajaan menyekat peruntukan untuk Terengganu adalah tidak benar.
Mengulas mengenai tuntutan royalti Terengganu, katanya, kerajaan negeri diminta mengemukakan tuntutan berdasarkan program dan keperluan kewangan.
"Masih lagi diambil pendekatan yang sama iaitu 'claim' (tuntutan) berdasarkan permohonan yang kadang-kadang kita berbelas-belas permohonan, 10 permohonan (tapi) diluluskan enam, empat tak lulus.
"Empat itu kita akan rayu pula tambah lagi permohonan baharu, itu yang kita sedang laksanakan daripada bulan ke bulan," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri merakam penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan berterima kasih atas peruntukan yang disalurkan bagi perbelanjaan pembangunan negeri melalui Rancangan Malaysia, Rolling Plan dan inisiatif pihak kementerian.
"Kita ucapkan terima kasih banyak-banyak, (namun), yang dipersoalkan oleh pentadbiran kerajaan dan juga rakyat negeri (Terengganu) berkenaan perolehan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau yang kita panggil di negeri Terengganu sebagai royalti.
"Itu yang kita persoalkan, kena beza antara 'development expenditure' daripada Rolling Plan dan daripada Rancangan Malaysia serta aktiviti kementerian dengan pendapatan daripada hasil royalti atau DKKP atau Wang Ehsan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!