Gangguan IT global: Operasi agensi kerajaan tidak terjejas

Datuk Seri Fadillah Yusof.
Datuk Seri Fadillah Yusof.
A
A
A

SHAH ALAM - Gangguan teknologi maklumat (IT) global yang berlaku sejak semalam tidak menjejaskan operasi agensi kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, setakat ini hanya sektor penerbangan sahaja yang terjejas oleh gangguan berkenaan, namun menerusi langkah proaktif yang diambil gangguan tersebut dapat diatasi dengan baik.

"Ini adalah satu cabaran bila kita menggunakan teknologi...kalau ada teknologi glitches (gangguan), kita akan berdepan dengan pelbagai masalah, jadi yang penting kita kena siap siaga kalau berlaku glitches, apakah langkah-langkah yang patut kita ambil untuk mengurangkannya," kata Fadillah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sistem Penyelesaian Pembayaran Terbuka Kenderaan Elektrik JuiceUP, di sini pada Sabtu.

Semalam (Jumaat), media melaporkan institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, saluran media dan hospital di beberapa negara terjejas akibat gangguan IT global.

Gangguan IT itu dikaitkan dengan syarikat teknologi keselamatan siber global Amerika Syarikat, Crowdstrike Inc, berpangkalan di Austin, Texas, yang menyediakan perlindungan titik akhir, risikan ancaman dan perkhidmatan tindak balas serangan siber.

Sementara itu mengenai perkembangan lain, Fadillah berkata, kerajaan sedang menggiatkan usaha untuk memperluaskan stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara khususnya di luar bandar.

Beliau berkata, langkah itu selari dengan dasar negara untuk meningkatkan penggunaan EV bagi memastikan sasaran sifar karbon menjelang 2050 dapat dicapai.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang ini fokus kita adalah untuk buka (stesen pengecasan EV) ke seluruh Malaysia. Saya sendiri mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan yang dikelolakan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

"Salah satu gerakan kita adalah untuk memperluaskan stesen pengecasan EV di seluruh negara, bukan sahaja sekarang ini yang banyak di lebuh raya atau kawasan rehat dan rawat (R&R), tetapi juga di pusat beli belah dan bangunan pejabat serta kawasan luar bandar," katanya.

Semasa majlis hari ini, syarikat pengurusan pengecas EV, JuiceUP EV Grid Sdn Bhd, melancarkan sistem penyelesaian pembayaran terbuka EV pertamanya untuk meningkatkan kebolehcapaian dan kemudahan pengecasan EV di seluruh negara.

Fadillah berkata, JuiceUP membolehkan pengguna mengetik dan mengecas EV mereka dengan kaedah pembayaran yang diterima secara meluas tanpa memerlukan sebarang aplikasi atau langganan.

"Saya yakin JuiceUP boleh menjadi pemain yang relevan dalam ekosistem mobiliti elektrik yang boleh menyokong agenda penggunaan EV di seluruh negara dan memacu agenda peralihan tenaga Malaysia," katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!