Inisiatif berwawasan MAHB melangkaui isu penswastaan

Situasi terkini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 agak sesak namun kios daftar masuk layan diri kembali beroperasi seperti biasa pada tinjauan pada Sabtu. Foto Bernama
Situasi terkini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 agak sesak namun kios daftar masuk layan diri kembali beroperasi seperti biasa pada tinjauan pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Di tengah-tengah kesibukan aktiviti perjalanan di lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dilihat semakin pantas mengubah pengalaman lapangan terbang sejak beberapa bulan kebelakangan ini, terutamanya selepas berlaku gangguan IT global.

Para petugas MAHB sewajarnya perlu diberi penghargaan selepas membantu mereka yang terkandas tanpa jemu sejak malam tadi.

Banyak lapangan terbang antarabangsa dilaporkan bergelut bagi menangani kekacauan semalam seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson Atlanta, Lapangan Terbang Antarabangsa O'Hare Chicago, Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles dan Lapangan Terbang Edinburgh.

Di lapangan tempatan sendiri, MAHB bekerja keras untuk menyokong semua pihak yang menerima impak.

Operator lapangan terbang itu melalui catatan di platform X memberitahu bagi meredakan keadaan, sejumlah 5,000 botol air mineral dan roti diagihkan kepada pelancong yang terjejas.

Pasukan MAHB bersama sukarelawannya, melakukan yang terbaik untuk membantu pelancong.

Difahamkan selain lapangan terbang dan syarikat penerbangan, bursa saham, syarikat kereta api, media dan bank juga menerima kesan.

Crowdstrike, sebuah syarikat keselamatan siber Amerika Syarikat mengaku bertanggungjawab atas kesilapan pengaturcaraannya sehingga menimbulkan gangguan IT global semalam.

Artikel Berkaitan:

Menyelami lebih dalam usaha berterusan yang diambil oleh MAHB yang melangkaui pintu masuk dan balai ketibaan, seseorang tidak dapat menafikan pengalaman lapangan terbang MAHB adalah amat revolusi, menggabungkan peluang membeli-belah bertaraf antarabangsa dengan perjalanan yang lancar, walaupun sedang menghadapi cabaran logistik yang ditimbulkan oleh Aerotrain.

Dengan mengenepikan tajuk utama serta perdebatan mengenai penswastaan, MAHB bersungguh-sungguh sedang meningkatkan perkhidmatan dan infrastrukturnya agar ia mampu menjadi lapangan terbang yang terbaik di dunia.

Usaha untuk memberikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar

Usaha-usaha ini termasuk memperkenalkan perkhidmatan kru troli percuma semasa ketibaan, berlepas dan kawasan menuntut bagasi bagi membantu penumpang mengangkat beg-beg mereka.

Ini sudah tentu memberi kelegaan kepada pengembara, terutamanya mereka yang melancong secara solo dengan membawa beg yang berat. Usaha yang amat dihargai.

Selain itu, bagi melancarkan perjalanan bas ulang-alik yang menggantikan Aerotrain, terdapat peningkatan yang luar biasa bagi melicinkan pemindahan dengan bas ulang-alik secara berterusan, ini disokong dengan pengangkutan ulang-alik premium untuk perniagaan dan penumpang kelas pertama.

Tidak dinafikan adanya kekecewaan di kalangan pengembara apabila landasan kereta api sepanjang 1.5 kilometer yang menghubungkan bangunan lapangan terbang utama ke terminal satelit telah digantung pada Mac tahun lepas, tetapi adalah penting untuk mengakui bahawa MAHB bekerja tanpa jemu dalam menyediakan pilihan alternatif.

Perjalanan mungkin sukar pada mulanya tetapi bas termasuk kakitangan tambahan telah melancarkan operasi.

Dan tidak dilupakan, khidmat daftar masuk dalam talian semasa ketibaan telah memendekkan tempoh yang diperlukan untuk sampai ke pintu masuk pesawat kepada kurang daripada satu jam.

Masa beratur untuk ketibaan serta pelepasan di imigresen turut diminimakan kepada kurang daripada 20 minit dengan penggunaan pintu masuk automatik untuk pelawat dari 63 negara.

Pintu automatik adalah penting dalam mengurangkan kesesakan, sejajar dengan peningkatan ketibaan pelancong berbanding sebelum Covid.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga merupakan antara lapangan terbang pertama di Malaysia yang membolehkan perkhidmatan pengambilan oleh pengendali e-hailing.

Penulis telah membuat tinjauan baru-baru ini di kalangan pelancong antarabangsa mengenai penambahbaikan lapangan terbang itu berbanding sedekad lalu.

Pengembara perniagaan dari New Zealand, Robert Greig, 48 berkata beliau melihat banyak penambahbaikan terutama dalam proses imigresen serta transit, yang dijadikan lebih mudah dan pantas berbanding beberapa tahun lalu termasuk jika dibandingkan dengan lapangan terbang ASEAN yang lain.

"Kakitangan lapangan terbang sangat membantu serta saya pernah ke beberapa lapangan terbang di Malaysia, iaitu Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Subang. Ia merupakan pengalaman yang lancar tetapi saya berharap perkhidmatan Aerotrain akan beroperasi tidak lama lagi,” katanya.

Projek penggantian Aerotrain KLIA dijangka selesai menjelang 31 Januari 2025, lebih awal daripada jadual.

Pelancong Britain, Christian John, 35, menegaskan bahawa KLIA adalah syurga membeli-belah serta makanan untuk pelancong, yang mana pelbagai kedai terkenal telah dibuka seperti Hugo Boss, Jibby Chow, O'Briens, Taste India, Taco Bell dan Petit Cafe Chef Wan.

Memberikan keuntungan tertinggi dalam sejarah MAHB

Keuntungan bersih MAHB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 melonjak kepada RM543.17 juta berbanding RM187.20 juta yang disaksikan semasa tahun kewangan 2022 bersandarkan hasil yang lebih tinggi, antara yang tertinggi dalam sejarahnya.

Ia adalah tahun yang menguntungkan susulan pertumbuhan keuntungan daripada nilai saksama pelaburan oleh MAHB termasuk anak syarikat milik penuhnya, MAHB (Mauritius) Private Ltd di India.

MAHB dan MAHB Mauritius melepaskan keseluruhan 11 peratus kepentingan mereka dalam GMR Hyderabad International Airport Ltd, syarikat induk yang menguruskan Lapangan Terbang Antarabangsa Hyderabad di India, kepada GMR Group pada harga AS$100 juta.

Meningkatkan ketersambungan

Tambahan pula, MAHB juga sedang mengembangkan ketersambungan rangkaian negara dan menjangkakan tiga syarikat penerbangan, British Airways, ThaiViet Jet serta 9 Air akan mula beroperasi menjelang akhir tahun ini.

KLIA menyediakan perkhidmatan kepada 70 syarikat penerbangan berbanding tahap pra-pandemi iaitu 69 dengan usaha intensif untuk mengembangkan ketersambungan rangkaian negara.

Ia telah menarik syarikat penerbangan baharu seperti Air Macau, Loong Air dari Hangzhou, Turkmenistan Airlines dari Ashgabat serta Iraqi Airways.

Menyumbang kepada ketersambungan ini adalah Malaysia Airlines, yang menghubungkan ke Male di Maldives, Da Nang di Vietnam, Chiang Mai di Thailand, AirAsia ke Almaty di Khazakstan dan Nairobi, Kenya.

KLIA kini mengendalikan 21 pengangkut kargo berjadual yang membawa kargo keluar serta masuk dari 40 negara dan menjadi hos kepada lebih 200 pembekal perkhidmatan logistik pihak ketiga termasuk ejen penghantaran barang. Pada 2023, KLIA mencatatkan kira-kira 700,000 tan metrik pergerakan kargo.

Lapangan terbang MAHB lain turut menyaksikan peningkatan dalam ketersambungan seperti Xiamen Airlines, yang menghubungkan Fuzhou ke Kota Kinabalu dan Flydubai ke Pulau Pinang dan Langkawi.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!