UMNO akan kalah jika bergerak solo PRU16 - Jalaluddin

Jalaluddin
Jalaluddin
A
A
A

SEREMBAN - UMNO akan kalah sekiranya memilih untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, bukan saja UMNO, malah parti-parti lain juga tidak mampu mencipta kejayaan sekiranya memilih untuk bersendirian.

"Pada pandangan peribadi saya, keputusan untuk UMNO bergerak solo atau bergabung dengan mana-mana parti lain adalah keputusan MKT parti.

"Pendapat saya, tidak ada mana-mana parti yang boleh bergerak solo untuk mencipta kejayaan termasuk UMNO dan kalau UMNO bergerak solo bagi menghadapi pilihan raya, kita akan kalah," katanya ketika diminta mengulas berkenaan cadangan UMNO akan bergerak solo pada PRU16.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seremban di Wisma UMNO Negeri Sembilan pada Sabtu.

Jalaluddin (lima dari kanan) ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seremban pada Sabtu.
Jalaluddin (lima dari kanan) ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seremban pada Sabtu.

Beliau yang juga Pengerusi UMNO Negeri Sembilan berkata, berdasarkan keadaan politik sekarang, UMNO memerlukan rakan kerjasama bagi menghadapi kejayaan dalam setiap pilihan raya diadakan.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk sama ada di peringkat Persekutuan dan negeri sudah menunjukkan persefahaman yang baik.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan ada beberapa perkara yang perlu ditambah baik dan dipertingkatkan.

"Persefahaman ini tidak boleh dirasai dalam kalangan pemimpin sahaja tetapi mesti dirasai dan dijiwai akar umbi sama.

"Maknanya urus tadbir dan persefahaman dalam Kerajaan Perpaduan ini, mesti sampai ke peringkat akar umbi.

"Maksudnya, tiada berat sebelah, tak berlaku ketidakadilan dalam soal jawatan, peruntukan dan apa pun yang berkaitan dengan parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan," katanya.

Jalaluddin berkata, sekiranya itu mampu dilakukan, beliau percaya Negeri Sembilan boleh menjadi contoh konsep Kerajaan Perpaduan yang sebenar.

Selain itu katanya, perjuangan UMNO adalah mempertahankan agama Islam, orang Melayu dan pada masa sama memberikan kesejahteraan kepada rakyat berbilang kaum.

"Bila kita nak berjuang untuk berkhidmat kepada rakyat, kita mesti berada dalam satu suasana sistem kerajaan yang mempunyai kuasa untuk mengadakan, menambah baik atau melipat gandakan lagi politik khidmat kepada rakyat.

"Kalau itu sudah jadi matlamat, maka kita harus mencipta satu gerak kerja dan kaedah bagaimana untuk kita sampai ke tahap itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, UMNO Negeri Sembilan tidak menolak kemungkinan ada pertukaran kerusi dengan Pakatan Harapan(PH) pada PRU16.

Ini kerana katanya, perkara paling penting adalah memastikan kemenangan dan bukannya berasaskan kuota seperti diamalkan BN dahulu.

"Kita tahu kerusi itu tak boleh dimenangi oleh parti berkenaan, maka kita letak juga atas persefahaman, kuota atau tradisi, maka kita akan terima kekalahan sekali lagi.

"Kerana itu, kita harus berfikir di luar kotak dengan melakukan pendekatan yang lebih kehadapan supaya kerusi itu mesti dimenangi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!