Koronavirus: Kerajaan gantung sementara visa warga China
PUTRAJAYA - Kerajaan menggantung sementara kemudahan imigresen termasuk tanpa visa kepada warga China dari Bandar Wuhan, wilayah Hubei dan sekitar yang terjejas akibat koronavirus.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya hari ini berkata, keputusan berkuasa kuasa serta-merta itu dibuat dengan mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan koronavirus.
"Kemudahan imigresen berkenaan termasuklah eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan (Visa on Arrival), e-visa dan visa manual," katanya.
Pejabat itu berkata, kemudahan imigresen tersebut akan diberikan semula setelah keadaan kembali normal.
"Wisma Putra akan menyelaras pelaksanaan keputusan ini bersama pihak kerajaan China," katanya.
Dalam pada itu, Pejabat Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat tidak sah atau palsu yang boleh menyebabkan ketidaktenteraman kepada masyarakat umum.
Kenyataan Akhbar: Kemasukan Pelawat China
— Dr Mahathir Mohamad (@chedetofficial) January 27, 2020
Kerajaan telah mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen iaitu eNTRY, Visa on Arrival, e-visa dan visa manual kepada rakyat negara China dari Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei di kelilingnya. pic.twitter.com/hWcho99Yjz
"Sejak timbulnya kes jangkitan koronavirus di negara China minggu lalu, kerajaan telah mengikut prosedur-prosedur yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mendapat nasihat pakar-pakar untuk menghadapi serta membendung jangkitan ini daripada merebak dengan meluas.
"Pemantauan telah dibuat dari semasa ke semasa," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia tidak lagi terima pelancong Wuhan
Koronavirus: Empat individu dikenal pasti sebar berita palsu
Malaysia tidak lagi menerima pelancong daripada Wuhan sejak 23 Januari lalu.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, situasi itu seiring dengan langkah China yang mengisytiharkan sekatan udara dan darat terhadap 11 juta penduduk wilayah itu.
"Tidak ada lagi pelancong dari Wuhan," katanya yang menafikan laporan kononnya negara ini masih menerima pelancong dari wilayah yang terjejas akibat koronavirus.
Menurutnya, selain sibuk menangani virus koronavirus, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut berusaha menangani berita palsu yang tular di media sosial.
"Kita ada dua masalah iaitu virus ( koronavirus) dan viral (berita palsu).
"Masalah meruncing kini ialah berita palsu kononnya hanya Malaysia tidak menutup pintu masuk kepada warga China," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan KLIA2 di sini hari ini.
Sementara itu, Dzulkefly berkata, KKM akan menambah 12 alat pengimbas haba dalam masa terdekat.
"Kita masih menunggu peruntukan daripada Kementerian Kewangan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: China guna ubat rawat virus HIV
Menurutnya, setakat ini negara mempunyai 54 pengimbas haba dan ditempatkan di pintu masuk utama.
"Kalau Menteri Kewangan dapat beri perolehan segera, saya jangka ia tidak akan mengambil masa lama," katanya.
Setakat ini, seramai empat individu disahkan positif koronavirus manakala lima yang lain disyaki dijangkiti virus berkenaan dan kesemua yang terlibat warga China.
KKM sahkan satu suspek terbaharu koronavirus
Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan menerima laporan berhubung seorang warga China yang bekerja di Bintulu, Sarawak mempunyai simptom koronavirus.
Dr Dzulkefly berkata, wanita tersebut sedang dikuarantin di Hospital Bintulu.
"Setakat ini kita masih menunggu keputusan ujian makmal," katanya.
Menurutnya, dengan laporan itu, jumlah terkini suspek koronavirus yang dirawat di hospital adalah lima orang.
"Dua kanak-kanak dirawat di Hospital Langkawi dan dua lagi di Hospital Kuala Lumpur," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dan KLIA2 hari ini.
Terdahulu terdapat satu laporan polis berhubung individu yang mengalami simptom koronavirus di Bintulu itu menjadi tular di media sosial.
Laporan itu antaranya menyebut wanita berusia 25 tahun berkenaan ke Wuhan atas urusan kerja pada 11 Januari lalu sebelum tiba dan transit di Kota Kinabalu, Sabah lima hari kemudian.
Dia terus bekerja di pejabat seperti biasa dan pada 26 Januari wanita itu pergi ke Hospital Columbia Asia untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami demam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!