Perak juara Hoki 5s Kebangsaan edisi ketiga
Skuad bimbingan jurulatih Perak, Muhammad Husaini Mohd Husin terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi Mohamad Ashran Hamsani pada minit ketiga untuk mengejutkan Pahang.
Perak dengan status pendatang baharu meneruskan usaha meningkatkan jaringan apabila menyumbat tiga lagi gol menerusi Azmilmuizzuddin Misron (12'), Mohamad Ashran (13') dan Muhammad Fahmi Khalid (14').
Pahang pula terpaksa ‘gigit jari’ dengan gol sagu hati menerusi Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini berbaki lima minit sebelum permainan tamat.
Selaku juara, Perak membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, pingat dan piala, manakala Pahang menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan pingat.
Sementara itu, Muhammad Husaini berkata, keazaman tinggi ditunjukkan barisan pemain menjadi kunci kejayaan pasukan yang muncul juara pada penampilan sulung mereka di kejohanan berkenaan.
"Kali pertama menyertai setelah tiga edisi tidak sangka dapat jadi juara. Apapun ini semua kerja keras pemain dan saya juga pesan kepada pemain bahawa Pahang adalah juara bertahan namun jangan terlalu memikirkan perkara itu," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan di sini hari ini.
Bagi kategori wanita pula, PDRM dinobatkan selaku juara selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) 3-1 pada aksi final hari ini.
PDRM meraih gol menerusi Nurul Najihah Mansur pada minit ketiga, Wan Norfaiezah Md Saluti (11') dan Norazlin Sumantri (18'), manakala gol tunggal KL dijaring Nur Zafirah Aziz (12'). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!