Skuad catur harumkan nama Malaysia di Taiwan
SKUAD catur negara mengharumkan nama Malaysia apabila mengungguli dua kategori Kejohanan Catur Jemputan Antarabangsa Naga Asia di National Taiwan University untuk muncul juara keseluruhan.
Wakil negara, Haziq Nasruddin menampilkan mentaliti juara apabila menumpaskan pemain tuan rumah, Pu Yu dengan mengutip mata keseluruhan tertinggi 8.5 mata pada pusingan kesembilan Kategori Bawah 16 tahun.
Kategori Terbuka pula menyaksikan aksi perlawanan akhir yang sengit mendebarkan apabila pemain negara, Iwan Schani Ibnu dipaksa berhempas pulas sebelum menumpaskan lawannya, Jerry Chang dari Amerika Syarikat.
Kejohanan tahunan dianjurkan Persatuan Catur Chinese Taipei (CTCA) menyaksikan penyertaan 34 peserta dari Macau, Hong Kong, Korea Selatan, Malaysia, Amerika Syarikat dan tuan rumah, Taiwan.
Sementara itu, Ketua Delegasi Pasukan Catur Malaysia, Noor Hafiz Mohd Nor menyifatkan prestasi cemerlang skuad negara turut disumbang pengenalan sulung sukan catur di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 pada Ogos depan.
Selain itu jelasnya, program-program Pemerkasaan Komuniti Catur Digital juga ternyata memberi impak positif kepada pembangunan bakat-bakat baharu.
Jelasnya, kemenangan tersebut juga penting sebagai persiapan pasukan negara ke Kejuaraan Chess Amatur Dunia FIDE di Greece pada Oktober depan.
“Saya juga berterima kasih atas sokongan pelbagai pihak yang telah banyak membantu persiapan bagi kejohanan ini khususnya Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Kementerian Luar Negeri, Persekutuan Catur Malaysia (MCF), Pertubuhan Pemerkasaan Komuniti Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Jabatan Penerangan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!