Corak ragam bunga raya pilihan Sultan Ibrahim sempena istiadat pertabalan
KUALA LUMPUR - Motif ragam bunga raya yang menghiasi Cendera Kenangan berupa pinggan pertabalan yang diterima tetamu sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 merupakan pilihan Sultan Ibrahim sendiri.
Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, beberapa corak hiasan telah dipersembahkan kepada Sultan Ibrahim, antaranya motif bunga lada yang sinonim dengan Johor, namun Seri Paduka Baginda berkenan memilih bunga raya.
"Saya masih ingat lagi ketika dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda beberapa pilihan corak, tetapi Yang di-Pertuan Agong memilih corak bunga raya yang menjadi perlambangan dan simbolik peringkat Persekutuan sebagai Ketua Utama Negara," katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, selain pinggan pertabalan, corak ragam bunga raya tersebut juga digunakan pada kad jemputan, buku atur cara dan pingat pertabalan.
Azuan Effendy berkata, selain corak ragam bunga raya, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah juga berkenan menyatukan penggunaan warna kegemaran Seri Paduka Baginda berdua iaitu biru Tiffany dengan warna diraja iaitu kuning sempena istiadat pertabalan itu.
Berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat Raja-Raja Melayu, istiadat pertabalan hari ini memasyhurkan Sultan Ibrahim sebagai Ketua Tertinggi Negara. Baginda kini menggalas tanggungjawab sebagai payung mahkota yang menaungi rakyat Malaysia untuk tempoh lima tahun.
Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!