Lelaki hampir muflis beri abang ipar guna nama buat pinjaman bank

Gambar Hiasan.
Gambar Hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki hampir diisytiharkan muflis apabila terjebak membenarkan abang iparnya menggunakan nama bagi pinjaman bank untuk pembelian kereta baharu.

Lelaki yang mahu dikenali Ajib Maizan berkata, akibat termakan pujuk rayu isteri dan percayakan kata-kata mentua, dia terima untuk membenarkan namanya digunakan bagi pinjaman berjumlah lebih RM100,000.

"Kena tipu dengan keluarga sendiri hingga hampir muflis. Hendak menjaga hati orang lain tapi saya yang tanggung sengsara.

"Saya penjawat awam dengan gaji dan gred biasa, tapi cukup untuk bayar segala komitmen. Ya, saya akui segalanya berpunca dari ketidaktegasan memberi orang lain guna nama untuk pinjaman bank pembelian kereta baharu.

"Memang salah saya sebab terlalu percayakan orang yang dianggap keluarga akhirnya diri sendiri terkena musibahnya," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, ibu mentuanya sanggup datang ke rumah untuk memujuk agar membantu anaknya mendapatkan kereta memandangkan nama dikenakan Data Systems Sdn Bhd (CTOS).

Ujar Ajib, ibu mentuanya juga turut mengugut dengan menggunakan pelbagai kata-kata kesat sehingga menyinggung perasaannya.

"Mulanya saya tak setuju walau mereka merayu-rayu. Dia pernah berkata, kalau keluarga sendiri tak boleh tolong, memang sampahlah. Baik aku kahwinkan anak aku dengan orang lain.

Artikel Berkaitan:

"Apabila dengar ayat itu, saya rasa tercabar. Namun isteri pujuk dan yakinkan saya bahawa abangnya tidak akan buat masalah. Saya kalah, jadi bersetuju demi menjaga hubungan keluarga," katanya.

Tambahnya, bagaimanapun bermula tahun lepas perniagaan abang iparnya itu mengalami masalah menyebabkan pembayaran bulanan pinjaman kereta berjumlah RM1,100 tersebut tertunggak sekali gus dikenakan tindakan ditarik oleh bank.

Apa yang lebih menyakitkan hati katanya, isterinya turut menghabiskan wang simpanan bagi membantu si abang tanpa pengetahuannya.

"Akhirnya saya dapat tahu kereta sudah kena tarik dan nama saya bakal dikenakan tindakan saman.

"Kami bertelagah dan nyaris bertumbuk. Mak mentua halau saya dan diharamkan datang ke rumahnya. Nasib baik isteri memilih untuk tetap bersama saya.

"Kusut otak ini sampai malam pun susah untuk tidur. Ada gaji tapi habis bayar hutang sahaja. Sudahlah kereta berkenaan dilelong, saya juga dikenakan membuat bayaran sebanyak belasan ribu ringgit," katanya.

Sementara itu, dia berpesan kepada orang ramai agar tidak sesekali berani untuk memberi kebenaran memakai nama bagi tujuan sebarang pinjaman bank kepada sesiapa pun termasuk darah daging sendiri.

Ujarnya, walaupun niat di hati untuk membantu tetapi percayalah bahawa mudarat lebih besar menanti kemudian hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!