Harapan daripada pemulihan

Berdasarkan pangkalan data LSEG bertarikh 2 Julai, ramalan pulangan pelaburan Bursa Malaysia adalah antara yang terbaik dalam kalangan pasaran saham Asia - Gambar hiasan 123RF
Berdasarkan pangkalan data LSEG bertarikh 2 Julai, ramalan pulangan pelaburan Bursa Malaysia adalah antara yang terbaik dalam kalangan pasaran saham Asia - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

Harga saham di Bursa Malaysia sedang menjejaki kenaikan harga di bursa-bursa utama dunia dari New York ke London, Tokyo ke Sydney. Ringgit yang tertekan sejak Disember 2020 ketika pandemik Covid-19 melanda mula menampakkan pemulihan sejak Mei lalu.

Indeks utama Bursa Saham New York, AS500 naik 826 mata atau 17.32 peratus sejak awal tahun ini. Indeks utama Pasaran Saham London, GB100 meningkat 457 mata atau 5.91 peratus.

Bagi Pasaran Saham Tokyo pula, indeks utamanya, Nikkei melonjak naik lebih 16 peratus. Indeks utama Pasaran Saham Australia, ASX200 naik 495 mata atau 6.52 peratus.

Natijahnya, boleh dikatakan semua pasaran saham dunia meningkat sejak enam bulan hingga setahun lalu.

Mengikut data tradingwiew.com, indeks utama Bursa Malaysia iaitu FBMKLCI naik 12.49 peratus sepanjang tahun ini. Bagi tempoh enam bulan terakhir, ia naik 10.36 peratus.

Empat buah bursa di atas adalah pasaran maju manakala Bursa Malaysia adalah pasaran membangun atau emerging market.

Menurut pangkalan maklumat eastcapital.com pula, pasaran saham global sekali lagi mencatatkan pertumbuhan yang padat pada suku kedua tahun ini. Pasaran membangun mengalahkan pasaran maju dengan pulangan purata 5.1 peratus berbanding 2.8 peratus.

Menurut pangkalan data LSEG (dulunya Refinitiv) bertarikh 2 Julai, ramalan pulangan pelaburan Bursa Malaysia adalah antara yang terbaik dalam kalangan pasaran saham Asia.

Artikel Berkaitan:

Pulangan Bursa Malaysia adalah 9.1 peratus bagi tahun sehingga sekarang (year-to-date) berbanding Taiwan 22.8 peratus, India 11.1 peratus dan China MSCI 4.8 peratus. Bursa-bursa lain yang disenaraikan seperti Korea Selatan, Indonesia dan Thailand adalah negatif.

Rabu lalu, KLCI dilaporkan naik ke paras paling tinggi dalam tempoh tiga tahun.

Pada penutup perdagangan mingguan (Jumaat, 19 Julai), indeks KLCI berada di paras 1,636.55 mata berbanding 1,453.10 mata pada permulaan tahun.

Kadar tukaran ringgit pula bertambah baik dari RM4.7963 bagi satu dolar Amerika pada 21 Februari lalu kepada 4.6845 pada 19 Julai.

Jadi, apakah erti semua ini kepada negara dan kita semua?

Antaranya, pasaran modal kita sedang bergerak naik seiringan dengan kenaikan pasaran global. Ringgit pula mula mengekori jejak pasaran saham.

Bagi pelabur dan pemain pasaran saham, pemulihan ini membolehkan mereka membuat keuntungan lebih besar kalau mereka cekap memilih saham.

Bagi yang hendak mencari atau menambah modal, mereka boleh pergi ke Bursa Malaysia untuk menjual saham mereka melalui tawaran awam awal (IPO) atau pengeluaran khas (rights issue).

Mereka boleh juga gadai saham mereka kepada bank dengan harga yang lebih tinggi.

Logiknya, tabung-tabung pelaburan swasta macam BlackRock Incorporated dan syarikat milik penuhnya, Global Infrastructure Partners Incorporated, serta tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) berpeluang membuat keuntungan lebih besar kerana mereka banyak melabur dan berniaga melalui Bursa Malaysia.

Dengan itu juga, mereka boleh membayar dividen lebih tinggi kepada penyimpan dan pelabur kalau mereka mahu. Hal ini nampak cukup jelas dengan prestasi pelaburan KWSP. Pada 12 Jun lalu, ia melaporkan berjaya mencatatkan pendapatan boleh agih (distributable income) sebanyak RM19.20 bilion atau peningkatan 33.1 peratus bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Sementara pengukuhan kadar tukaran ringgit pula, kalau diuruskan dengan baik, boleh membantu mengurangkan kesan inflasi import, khususnya ke atas bahan makanan, ubat-ubatan dan barang-barang modal (capital goods).

Hal ini menjadi lebih mendesak pada ketika kerajaan sedang menarik balik subsidi ke atas bahan bakar dan menyasarkan agihannya.

Kesimpulannya, ekonomi negara kita, khususnya pasaran modal, mata wang dan pelaburan berjaya mengambil kesempatan daripada pemulihan ekonomi global.

Ekonomi dunia diramalkan berkembang pada kadar 3.2 peratus tahun ini dan 3.3 peratus tahun depan.

Adalah diharapkan yang penambahbaikan ini akan dikongsikan dengan rakyat jelata dalam bentuk pembahagian kekayaan lebih adil dan saksama.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!