Beri kemenangan pada PN - Pas

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

GUA MUSANG - Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengajak rakyat Nenggiri menolak Kerajaan Perpaduan dengan memberikan kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini.

Beliau berkata, kemenangan itu merupakan amaran rakyat diperingkat akar umbi tidak bersama Kerajaan Perpaduan.

"Keputusan itu akan mewakili sebahagian besar rakyat negara ini yang mahukan Kerajaan Perpaduan turun dari tampuk pemerintahan serta-merta.

"Turun bukan dalam tempoh seminggu, sehari dua...tetapi 24 jam selepas PRK Nenggiri ini," katanya semasa menyampaikan ucapan pada Ceramah Gelombang Selamatkan Malaysia dan Pelancaran Jentera PRK Nenggiri di Markas Pas Limau Kasturi 2, di sini Sabtu malam.

Menurut beliau, sekiranya rakyat menolak PN ia memberi gambaran mereka bersetuju dengan tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim menyerahkan kerusi tersebut kepada UMNO.

Ujarnya, tindakan Mohd Azizi merupakan satu pengkhianatan kepada parti dan mandat rakyat selepas diberikan peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

"Dia 'paling bertuah' apabila menjadi calon tunggal dari Bersatu di Kelantan yang diberi peluang bertanding di kerusi Parlimen dan DUN.

"Beliau khianat parti dan mandat yang diberikan rakyat dengan menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!