Gas bocor: Seorang pekerja cedera, dua selamat
KEMAMAN - Kebocoran gas di Kawasan Perindustrian Kerteh di sini mengakibatkan seorang pekerja cedera manakala dua lagi selamat.
Dalam kejadian petang Sabtu, seorang pekerja berusia 29 tahun cedera di bahagian betis selepas terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri dan dirawat di lokasi kejadian.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.05 petang.
Susulan itu, 15 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh bersama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) serta tiga jentera termasuk sebuah 'water tanker', bergegas ke lokasi kejadian.
"Sebaik saja tiba, pasukan mendapati berlaku kebocoran gas hidrokarbon di bahagian paip yang sedang dalam proses baik pulih oleh kontraktor dilantik," katanya.
Azman berkata, bomba menggunakan teknik semburan penyejukan atau 'cooling down' bagi mengawal keadaan sehingga tiada tekanan gas di dalam paip terbabit.
Operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 5.28 petang.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.- Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!