Penerbangan ditunda lima kali, Ka Siong tegur AirAsia

Ka Siong memaklumkan terpaksa mengambil penerbangan baharu pada 7.10 pagi ke Sandakan untuk menghadiri program yang dijadualkan jam 10 pagi.
Ka Siong memaklumkan terpaksa mengambil penerbangan baharu pada 7.10 pagi ke Sandakan untuk menghadiri program yang dijadualkan jam 10 pagi.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menzahirkan rasa kecewa terhadap perkhidmatan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia yang didakwa menukar jadual penerbangannya dari Kota Kinabalu ke Sandakan, Sabah pada Sabtu sebanyak lima kali menyebabkan beliau terpaksa membeli tiket baharu untuk penerbangan pada Ahad.

Menurutnya, waktu penerbangan asal adalah pada jam 3.20 petang sebelum ditunda pada jam 5.55 petang pada hari sama.

"Sekitar 2 petang selepas saya daftar keluar dari Hotel Le Meridian KK, saya sekali lagi dimaklumkan oleh pihak AirAsia bahawa penerbangan saya terpaksa ditunda ke 2330HRS (11.30 malam) 20 Julai 2024.

"Pada jam 8.55 petang 20 Julai 2024, saya menerima mesej dari AirAsia bahawa penerbangan saya BKI-SDK akan ditunda ke 0210HRS (2.10 pagi) pada 21 Julai 2024.

"Akan tetapi, pada jam 10.15 malam, 20 Julai 2024, saya dimaklumkan oleh pihak AirAsia bahawa penerbangan saya akan diawalkan ke 0130HRS pada 21 Julai 2024. Saya pun tiba di KKIA pada sebelum jam 1 pagi pada 21 Julai 2024.

"Namun, saya betul-betul terkilan apabila staf AirAsia di kaunter mengesahkan bahawa penerbangan AK6498 telah dibatalkan dan segala maklumat mengenai penerbangan hanya akan diketahui dan dimaklumkan kepada semua penumpang pada 7 pagi, 21 Julai 2024," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, penumpang kemudiannya dimaklumkan penerbangan AK6498 hanya akan berlepas pada jam 1.45 tengah hari Ahad menyebabkan beliau terpaksa mengambil penerbangan baharu pada 7.10 pagi untuk menghadiri program yang dijadualkan jam 10 pagi.

"Saya terpaksa batalkan program saya di Sandakan yang dijadualkan pada 7 malam Sabtu.

"Kalau AirAsia dah nak batalkan penerbangan AK6498, awal-awal lagi patut maklumkan kepada penumpang dan jangan sekali memberi maklumat atau harapan palsu kepada penumpang berkali-kali," katanya.

Beliau juga mendakwa, disebabkan insiden tersebut juga, ramai pelanggan penerbangan sama terkandas di lapangan terbang.

"Sekumpulan penumpang yang saya temui di Promenade Hotel marah dengan syarikat penerbangan tersebut yang tidak mengatur sebarang penginapan kepada penumpang terkandas selama dua hari sehingga Isnin depan.

"AirAsia sepatutnya bersikap lebih professional dalam pengurusan krisis sebegini," katanya.

Pada Jumaat, berlaku gangguan teknologi maklumat (IT) global yang menjejaskan banyak syarikat penerbangan, perniagaan dan organisasi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!