'MCA jangan buat keputusan terburu-buru keluar BN'

Noor Azleen ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang di Taman Rinting, Pasir Gudang pada malam Sabtu
Noor Azleen ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang di Taman Rinting, Pasir Gudang pada malam Sabtu
A
A
A

PASIR GUDANG - MCA tidak perlu terburu-buru membuat keputusan keluar BN hanya kerana tiada jawatan dalam kerajaan dan menganggap disisihkan ketika ini.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambrose berkata, parti tersebut perlu melihat jauh ke hadapan dan tidak terpengaruh dengan sentimen semasa.

"Jadi, MCA kalau boleh jangan hanya melihat dalam konteks semasa walupun pada hari ini mereka hanya tinggal dua kerusi dan tak ada jawatan dalam kerajaan.

"Mereka kena lihat ke belakang, perlu lihat balik sejarah dan lihat ke depan, apa yang terbaik untuk negara. Jangan buat keputusan terburu-buru," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang di Taman Rinting di sini pada Sabtu malam.

Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Baharudin Mohamed Taib.

Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan, sumber pucuk kepimpinan MCA dan anggota akar umbi parti tidak lagi gembira dengan kedudukan parti terbabit dalam BN selepas menyertai gabungan tersebut sejak 72 tahun lalu.

Susulan itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon tampil menafikan dakwaan terbabit dengan menjelaskan tiada sebarang perbincangan dibuat dalam kalangan kepimpinan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Noor Azleen berkata, MCA perlu terus percaya dengan formula perkongsian kuasa yang dipraktikkan BN dan terbukti berkesan dalam mentadbir negara berbilang kaum sejak merdeka sehingga 2018.

Katanya, tiada siapa boleh menafikan formula tersebut dan semua pihak perlu terima hakikat bahawa negara ini hanya boleh ditadbir satu gabungan politik yang mewakili pelbagai kaum.

"Bagi Pemuda UMNO Johor, kita masih yakin bahawa formula BN iaitu perkongsian kuasa yang mewakili semua kaum di Malaysia dan satu-satunya parti yang mampu dan boleh menguruskan negara majmuk berbilang kaum ini.

"Melayu sahaja tak mungkin boleh tubuh kerajaan, perlu ada formula perkongsian kuasa," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!