Kes bunuh Nur Farah Kartini: Polis rakam keterangan pekerja kebun

Nur Farah Kartini dipercayai dibawa ke beberapa lokasi termasuk sebuah kebun ubi yang diusahakan suspek di Tanjung Malim, Perak sebelum dibunuh.
Nur Farah Kartini dipercayai dibawa ke beberapa lokasi termasuk sebuah kebun ubi yang diusahakan suspek di Tanjung Malim, Perak sebelum dibunuh.
A
A
A

HULU SELANGOR - Polis telah merakam keterangan beberapa pekerja di sebuah kebun ubi dekat Slim River, Perak yang diusahakan suspek pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri Mohd Yunus berkata, polis sebelum ini menjalankan siasatan di kebun berkenaan susulan ada beberapa perkara yang perlu diteliti.

"Kita telah jalankan siasatan di lokasi terbabit dan beberapa individu yang merupakan pekerja kebun turut dirakam keterangan berhubung siasatan dijalankan," katanya pada Ahad.

Sebelum ini media melaporkan Nur Farah Kartini dipercayai dibawa ke beberapa lokasi termasuk sebuah kebun ubi yang diusahakan suspek di Tanjung Malim, Perak sebelum dibunuh.

Kebun ubi berkenaan terletak kira-kira 30 hingga 40 kilometer dari lokasi mangsa ditemukan meninggal dunia.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan usaha pencarian bahan bukti berkaitan kes pembunuhan Nur Farah Kartini diteruskan lagi di Sungai Trolak, Kampung Batu, Perak.

Terdahulu, beg tangan dipercayai milik mangsa ditemui di Sungai Trolak, iaitu kira-kira 20 minit dari parit ladang kelapa sawit berdekatan Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.

Pencarian yang dijalankan polis di kawasan parit berkenaan sebelum ini menemukan telefon pintar dipercayai milik mangsa.

Artikel Berkaitan:

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di Taman Universiti, Tanjung Malim dan mayatnya dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit berkenaan, kira-kira jam 6 petang 15 Julai lalu.

Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota polis ditahan pada hari yang sama dan direman sehingga 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!