[VIDEO] Pernah makan nasi berlauk perencah mi segera, bapa tunggal nekad keluar asnaf

A
A
A

SEREMBAN - Enam tahun lalu, sukarnya hidup Zaidtulakmar Norjali, 49, apabila dia dan anak pernah makan nasi berlaukkan perencah mi segera.

Hidup bapa tunggal berkenaan bersama seorang anaknya yang ketika itu berusia 14 tahun amat berliku selepas dia diuji masalah sakit tulang belakang.

Zaidtulakmar menandatangani surat pemberhentian sebagai asnaf sambil diambil disaksikan Zulkifli.
Zaidtulakmar menandatangani surat pemberhentian sebagai asnaf sambil diambil disaksikan Zulkifli.

Disebabkan masalah kesihatan dialami, hidupnya terumbang ambing kerana terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu lori, sehinggalah dia menjadi penerima bantuan zakat daripada Baitulmal.

Namun menyedari kehidupan yang kini semakin baik, dia membuat keputusan untuk keluar sebagai penerima bantuan asnaf yang diterimanya sejak tahun 2018.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas dia mampu bekerja semula sebagai pemandu lori dengan memperoleh pendapatan RM3,000 sebulan.

Zaidtulakmar tidak dapat menahan sebak menceritakan keadaan hidupnya sebelum ini.
Zaidtulakmar tidak dapat menahan sebak menceritakan keadaan hidupnya sebelum ini.

"Hidup saya dulu memang sangat sukar sehingga ada ketikanya saya hanya mampu beri anak makan nasi berlaukkan perencah mi segera saja.

Artikel Berkaitan:

"Bekalan air dan elektrik rumah juga turut dipotong kerana saya tak mampu bayar bil. Tapi kesusahan itu saya tak pernah mengadu pada sesiapa," katanya.

Bagaimanapun dia tidak menyangka apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS) datang melawatnya dan menghulurkan sumbangan, selain memanjangkan masalah dihadapi kepada Baitulmal.

Sejak itu ujar Zaidtulakmar, dia menerima bantuan bulanan RM250 dan barangan keperluan daripada Baitulmal.

"Alhamdulillah pada tahun 2022, kesihatan saya semakin baik dan boleh bekerja semula sebagai pemandu lori.

"Tapi waktu itu beberapa kali juga saya berhenti kerana ada ketikanya sakit belakang saya datang menyerang," katanya ketika ditemui di kediamannya di Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 Taman Sri Mawar di sini, pada Ahad.

Namun tambahnya, pada awal tahun ini masalah sakit belakang dialami telah pulih sepenuhnya.

Disebabkan itu katanya, pada Mac lalu dia tergerak hati untuk keluar daripada asnaf, namun ada ketikanya hatinya berbelah bahagi kerana bimbang sakitnya datang semula.

Zaidtulakmar menyatakan hasratnya mahu keluar daripada kategori asnaf kepada Zulkifli.
Zaidtulakmar menyatakan hasratnya mahu keluar daripada kategori asnaf kepada Zulkifli.

"Tapi saya fikir ALLAH dah bagi saya kemampuan dan kekuatan untuk bekerja semula dan pendapatan diterima pun mampu untuk saya menyara keluarga.

"Saya juga tak mahu disebabkan saya pula, ada orang yang lebih memerlukan tak dapat bantuan dan sebab itu saya nyatakan hasrat itu kepada PCRS," katanya.

Sementara itu, Penaung PCRS, Zulkifli Muhamed berkata, keputusan lelaki terbabit untuk tidak lagi menjadi penerima bantuan zakat selepas menyedari dirinya kini mampu memperoleh pendapatan lebih baik adalah sesuatu yang boleh dijadikan contoh.

Tambahnya, ia juga boleh menyuntik semangat kepada asnaf lain untuk berusaha memajukan diri dan bukannya berterusan menjadi penerima bantuan.

"Bagi saya Zaidtulakmar ini bersikap jujur apabila dia sendiri hubungi saya beritahu yang kehidupannya makin baik dan nyatakan hasrat nak keluar daripada asnaf.

"Jadi saya bantu dia buat surat makluman pemberhentian sebagai asnaf untuk diberi kepada pihak Baitulmal dan harapnya kehidupannya terus dipermudahkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!