Aliran trafik mula perlahan petang ini
KUALA LUMPUR- Aliran trafik dilaporkan mula bergerak perlahan di beberapa lebuh raya utama setakat petang ini berikutan orang ramai pulang daripada cuti Tahun Baru Cina.
Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata, trafik di utara perlahan dari Permatang Pauh ke Perai, Bukit Tambun ke Bandar Cassia serta Changkat Jering menghala ke Kuala Kangsar ekoran pertambahan trafik.
“Trafik menghala ke selatan pula menunjukkan pergerakan perlahan dari Kulai ke Sedenak, hentian Pedas Linggi ke Port Dickson serta hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, trafik menuju ke pantai timur bergerak perlahan dari Plaza Tol Gombak sehingga ke Genting Sempah.
"Aliran trafik dilapor sesak di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 namun masih lancar di LPT2,” katanya.
Maklumat trafik terkini boleh didapati menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter, www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter, www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!