Lelaki pandu 'King' melulu positif dadah
GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki yang positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine ditahan selepas memandu secara melulu dan berbahaya di Batu Feringghi di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, lelaki tempatan berusia 30 tahun yang memandu sebuah kereta jenis Perodua Myvi ditahan pada jam 6.40 petang selepas dikejar sejauh 7 kilometer (km).
Menurutnya, kejadian yang berlaku di Jalan Batu Feringghi menghala ke Teluk Bahang itu juga menyebabkan kemalangan jalan raya melibatkan beberapa kenderaan lain.
"Kita berjaya menahan suspek selepas mengejarnya sejauh 7 kilometer (km). Hasil pemeriksaan, polis menjumpai bahan-bahan disyaki dadah jenis ganja dan syabu di dalam beg silang milik suspek.
"Semakan juga mendapati suspek memiliki satu rekod tangkapan bersangkut kes jenayah lampau dan dua rekod tangkapan kes dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah Razlam, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
"Suspek direman selama empat hari sehingga 24 Julai untuk siasatan di bawah Seksyen 12 (3), Seksyen 6, Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Selain itu, siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.
Razlam turut mengucapkan terima kasih terhadap keprihatinan orang ramai yang turut membantu polis menahan suspek dalam kejadian tersebut.
Pada Sabtu, tular beberapa klip video memaparkan sebuah Perodua Myvi dipandu secara melulu dan berbahaya di Jalan Batu Feringghi di sini.
Perbuatan pemandu kereta tersebut telah menyebabkan kemalangan jalan raya melibatkan beberapa kenderaan lain.
Menerusi video tersebut juga, anggota polis dan beberapa orang awam dilihat cuba mengarahkan kereta berkenaan untuk berhenti, namun pemandu enggan memberhentikan kenderaannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!