Amanah lapor polis isu fitnah terhadap Aiman Athirah

Razali (dua dari kanan) menunjukkan laporan polis di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Ahad.
Razali (dua dari kanan) menunjukkan laporan polis di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan membuat laporan polis terhadap dua pemilik akaun Facebook yang didakwa memfitnah Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu.

Pengarah Biro Komunikasi Amanah Wilayah Persekutuan, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, laporan itu berkaitan dua paparan iaitu gambar Aiman Athirah bersebelahan sebuah tin minuman keras yang telah ditukarkan logonya kepada logo Amanah.

"Paparan kedua pula berkaitan gambar dan kata-kata fitnah secara sindiran, pemilik akaun Facebook itu mendakwa Aiman Athirah mempromosikan arak di sekolah," katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada Ahad.

Razali berkata, paparan dua pemilik akaun Facebook itu berniat untuk menjatuhkan reputasi Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Saya difahamkan Aiman Athirah akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun itu kerana ia turut membabitkan imej Amanah," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan, Hafizzuddin Razian pula menggesa orang ramai supaya berhenti menyebar fitnah di media sosial.

"Penyebaran fitnah dikesan semakin berleluasa dengan sebelum ini, kami ada membuat laporan polis terhadap pempengaruh yang membuat kenyataan fitnah di media sosial.

"Disebabkan itu, kami mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan kenyataan fitnah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan Aiman Athirah akan mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pemilik akaun sekiranya individu itu tidak menurunkan hantaran dan menghentikan sebaran fitnah dalam tempoh 48 jam.

Aiman Athirah dilaporkan berkata, pasukannya sedang mengumpul semua maklumat dan berita palsu berkaitan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!