Festival seakan 'Rain Forest' Sarawak di Pahang tahun depan

Antara persembahan komuniti Orang Asli di negara ini sempena perasmian FesKEP pada Sabtu. Gambar kecil: Rosnan
Antara persembahan komuniti Orang Asli di negara ini sempena perasmian FesKEP pada Sabtu. Gambar kecil: Rosnan
A
A
A

TEMERLOH - Festival Kesenian Peribumi Malaysia Pahang (FesKEP) bakal menjadi produk tarikan terbaharu menerusi penganjuran festival bertaraf antarabangsa tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN), Rosnan Nordin berkata, penganjuran festival seakan 'Rain Forest' di Sarawak itu dijangka mampu memberikan pulangan pelaburan kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, ia dapat dilihat melalui limpahan rezeki buat peniaga seperti pengusaha homestay di Temerloh yang mendapat tempahan menggalakkan sepanjang penganjuran festival itu bermula Jumaat hingga Ahad.

"Kalau tiada aral melintang, festival ini akan dianjurkan di peringkat antarabangsa berdasarkan sambutan dan penghargaan masyarakat di sini terhadap seni budaya.

"Kita akan cuba dapatkan beberapa negara mempunyai keunikan dan menjadi tarikan seperti masyarakat Red Indians dari Kanada yang pernah kita bawa, Orang Asli Maori dari Australia selain Filipina dan Thailand.

"Tahun depan, Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN jadi kita akan bekerjasama dengan negara-negara ASEAN yang boleh sertai dalam program ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian FesKEP 2024 di Dataran Temerloh pada Sabtu yang disempurnakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands.

Rosnan (tiga dari kiri) bersama Ramli (empat dari kiri) dan Yu Man (empat dari kanan) dalam perasmian festival tersebut di Dataran Temerloh pada Sabtu.
Rosnan (tiga dari kiri) bersama Ramli (empat dari kiri) dan Yu Man (empat dari kanan) dalam perasmian festival tersebut di Dataran Temerloh pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man.

Dalam pada itu, Yu Man berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan penganjuran festival dan memberikan sokongan penuh terhadap program tersebut.

Jelasnya, kepelbagaian budaya masyarakat Orang Asli juga telah menjadi tarikan pelancongan di negeri itu dengan pelbagai pakej pelancongan membabitkan komuniti telah telah diperkenalkan.

"Pahang antara negeri yang padat dengan penempatan Orang Asli dan kepelbagaian budaya komuniti ini telah menjadi tarikan kepada pelancongan.

"Sebagai contoh di Taman Negara, ia termasuk dalam pakej dan salah satu pengisian ialah melihat perkampungan dan mempelajari kemahiran survival mereka," katanya.

Festival yang mengetengahkan keunikan pelbagai etnik dan budaya masyarakat peribumi di negara ini turut diwarnai dengan pelbagai aktiviti lain seperti pameran, aktiviti jualan, pertandingan ratu cantik cilik Orang Asli dan sewang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!