Suspek kes bunuh Nur Farah Kartini akan disambung reman esok
HULU SELANGOR - Suspek kes bunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, 25, akan dibawa Mahkamah Kuala Kubu Bharu untuk permohonan lanjut reman, pada Isnin.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim.
"Ya, suspek dibawa ke mahkamah esok (Isnin) untuk lanjutan reman.
"Reman suspek selama tujuh hari akan tamat esok, siasatan masih dijalankan termasuk usaha cari barang bukti dan lain-lain sudut termasuk merekod keterangan beberapa individu," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor kira-kira jam 6 petang, Isnin lalu.
Susulan itu, suspek yang juga seorang anggota polis berpangkat lans koperal telah ditahan hari yang sama.
Suspek telah direman tujuh hari sehingga 22 Julai untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Selain itu, polis telah menemui bahan bukti antaranya telefon pintar serta beg tangan dipercayai milik mangsa hasil operasi di Kampung Sri Keledang serta Sungai Trolak, Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!