[VIDEO] Henti guna tarif air baharu, fikir kebajikan rakyat - UMNO Pulau Pinang

A
A
A

BUTTERWORTH - UMNO Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang supaya menghentikan dahulu penggunaan kadar tarif air baharu yang dilihat membebankan rakyat di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, usul berkenaan dibuat oleh UMNO Bukit Mertajam dalam mesyuarat perwakilan bahagian itu selain menggesa satu kajian dibuat terhadap impak serta kebajikan rakyat.

Menurutnya, walaupun kerajaan negeri memberikan subsidi atau rebat bagi kategori tertentu namun rakyat masih terkesan dengan kenaikan tarif baharu selepas ia mula dilaksanakan pada Februari lalu.

Musa bersama pimpinan UMNO Bahagian Bukit Mertajam ketika sidang media.
Musa bersama pimpinan UMNO Bahagian Bukit Mertajam ketika sidang media.

"Sikit atau banyak kenaikan itu tetap membebankan rakyat. Jadi kita minta hentikan dulu tarif baharu ini dan buat kajian untuk kebaikan atau kebajikan rakyat negeri ini.

"Ini suara akar umbi yang perlu kerajaan beri perhatian dan UMNO Pulau Pinang akan menyusul dengan surat untuk membawa perkara ini kepada perhatian kerajaan negeri dalam masa terdekat," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di sini, pada Ahad.

Hadir merasmikan mesyuarat berkenaan, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Artikel Berkaitan:

Musa ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam, pada Ahad.
Musa ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam, pada Ahad.

Ditanya sama ada isu tarif air menjadi salah satu punca kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap baru-baru ini, Musa mengakui itu salah satu faktor yang memberi kesan kepada sokongan rakyat selain isu nasional terutama kenaikan kos sara hidup.

"Soal menang atau kalah itu soal kedua tetapi perkara ini lah yang sering disuarakan oleh rakyat selain rasa tidak puas hati tentang perkara-perkara begini," katanya lagi.

Sebelum ini, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kadar tarif air di Pulau Pinang merupakan kekal kedua terendah di negara ini selepas Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan kadar tarif baharu bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Kon Yeow berkata, kadar tarif baharu air yang diumumkan di beberapa negeri bertujuan menjana hasil yang boleh menampung projek infrastruktur.

SPAN mengumumkan purata kadar baharu di Pulau Pinang untuk penggunaan domestik air sehingga 35 meter padu (m3) sebulan ialah RM1.17 bagi setiap m3 iaitu 1,000 liter dan caj minimum setiap bulan ialah RM6.20.

Pada 6 Jun lalu, kerajaan negeri meminta Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk memberikan rebat dalam bentuk air percuma 10,000 liter pertama bagi setiap bil air selama enam bulan dan meluaskan skim Rebat Mesra Keluarga RM20 bagi isi rumah besar.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, pemberian air percuma 10,000 liter itu berkuat kuasa Julai ini hingga Disember 2024 dan skim rebat pula melibatkan isi rumah besar iaitu lapan orang ke atas dengan pendapatan RM5,000 ke bawah.

Sementara itu, Musa yang juga Ketua Bahagian UMNO Bukit Mertajam turut melahirkan rasa kesal berhubung video promosi George Town Festival 2024 yang dianggap tidak sensitif dengan budaya masyarakat Melayu.

Tegasnya, walaupun permohonan maaf telah dibuat namun kerajaan negeri perlu pastikan kejadian seperti itu tidak berulang lagi selain meneliti kepakaran syarikat yang mengendalikan acara melibatkan kebudayaan masyarakat di negeri ini.

"Kita kesal kerana adakah ini satu kesilapan ataupun disengajakan.

"Ini sangat sensitif dan perlu ingat perasaan orang Melayu juga perlu kita jaga," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!