300 tukun tiruan dilabuh di laut Kelantan
PASIR PUTEH - Jabatan Perikanan melabuhkan sebanyak 300 tukun tiruan pelbagai jenis di perairan Kelantan dengan jumlah peruntukan dibelanjakan lebih RM5.8 juta sejak 2007.
Pengarah Perikanan Negeri Kelantan, Dr Erniyta Osman berkata, tukun-tukun terbabit ditenggelamkan di tujuh lokasi melibatkan empat daerah iaitu di Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.
Menurutnya, dua konsep pembinaan tukun tiruan digunakan iaitu konsep konservasi yang bertujuan untuk pemuliharaan sumber dan konsep rekreasi untuk tangkapan secara pancingan serta perikanan rekreasi yang terkawal.
“Dalam tempoh itu, peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan pusat tahun ini adalah paling besar iaitu sebanyak RM2.2 juta bagi melabuhkan 70 tukun konservasi meliputi 29 di Tok Bali, masing-masing 17 di Pantai Irama dan tujuh di Kuala Besar.
“Lokasi di Tok Bali dan Kuala Besar itu juga akan dibangunkan sebagai kompleks tukun tiruan dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi meningkatkan produktiviti biologi dan sumber perikanan di kawasan pesisiran pantai,” katanya
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena Program Melabuh Tukun Tiruan (Konservasi) Negeri Kelantan Jabatan Perikanan Malaysia bagi Tahun 2024 di Kompleks Pelabuhan Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali pada Ahad.
Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Erniyta berkata, pembinaan tukun tersebut akan mewujudkan ekosistem yang berfungsi sebagai kawasan perlindungan, pemuliharaan dan pembiakan ikan serta hidupan marin lain.
Katanya, tukun juga boleh memulih dan melindungi habitat marin yang musnah akibat aktiviti perikanan atau bencana alam.
“Antara jenis tukun dasar lembut penghalang pukat tunda yang ditenggelamkan juga dapat menghalang dan mengawal aktiviti tangkapan menggunakan pukat tunda di pesisiran pantai selain mewujudkan kawasan agro-pelancongan serta selam skuba.
“Tukun-tukun ini dilabuhkan sejauh lebih lima batu nautika di periaran Kelantan dengan kedalaman 10 hingga 25 meter sekali gus dapat menyumbang pembiakan sehingga 6,000 kilogram ikan dengan nilai RM80,000 daripada 28 spesisi antaranya kerapu, jenahak dan merah,” kata beliau.
Tambah Erniyta, pihak jabatan itu akan terus melaksana program dan kerja-kerja melabuh tukun tiruan dari semasa ke semasa bagi memastikan sumber perikanan sentiasa mampan serta menjamin sekuriti makanan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!