Lacazette bangga ketuai skuad bola sepak Olimpik Perancis
TONGGAK kelab Ligue 1 Perancis, Lyon, Alexandre Lacazette mengakui bangga apabila mendapat penghormatan daripada pengendali Thierry Henry, mengetuai skuad Olimpik Perancis pada temasya Paris 2024.
Malah bekas pemain Arsenal berusia 33 tahun tersebut juga mengharapkan sokongan penyokong-penyokong tuan rumah bagi menyemarakkan cita-cita pingat pasukan tersebut.
Lacazette, yang kali terakhir bermain untuk Perancis pada 2017, berkata, skuad Olimpik Bawah (B-23) tahun yang diperkukuhkan dengan tiga pemain lebih umur tampil dengan misi emas kedua selepas edisi Los Angeles 1984.
“Kami semua mempunyai cita-cita yang sama, untuk pergi jauh dan memenangi pingat. Hakikat bahawa ia adalah temasya di rumah benar-benar akan memotivasikan kami,” katanya.
Dalam pada itu, Lacazette berkata, Henry mahu pasukan itu bermain dengan gaya bola sepak yang menyerang dan berasaskan penguasaan.
“Secara taktikal, dia sangat berfikiran ke hadapan terutamanya apabila mahu kami berseronok dan membuat persembahan untuk penonton,” kata Lacazette.
Perancis diletakkan dalam Kumpulan A, memulakan kempen menentang Amerika Syarikat di Marseille, dua hari sebelum upacara pembukaan rasmi temasya tersebut di Paris.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!