Penunggang motosikal warga emas maut dilanggar lori
TAIPING - Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Jalan Kamunting dekat sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, maklumat berkaitan kemalangan terbabit diterima pada jam 11.50 pagi melibatkan penunggang motosikal berusia 64 tahun dan lori dipandu lelaki berusia 44 tahun.
"Siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan dari arah sama menghala ke Changkat Larah telah berhenti di lampu isyarat terbabit.
"Ketika lori ingin memulakan perjalanan setelah lampu isyarat bertukar hijau, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman," katanya di sini.
Menurut beliau, pemandu terbabit telah turun untuk melakukan pemeriksaan dan mendapati telah melanggar motosikal mangsa.
"Mangsa bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Tindakan diambil apabila pemandu terbabit dibawa menjalani ujian saringan air kencing serta alkohol dan hasilnya keputusan adalah negatif," katanya.
Mohamad Nasir berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!