Kapal MT Ceres 1 cuba dilarikan, ditemukan di perairan Pulau Tioman
KOTA TINGGI - Sebuah kapal yang dilaporkan 'hilang' selepas terbabit dengan insiden perlanggaran dengan sebuah kapal lain di perairan Tanjung Balau dekat sini pada Jumaat, ditemui semula di perairan Pulau Tioman Pahang pada awal pagi Ahad.
Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Pertama Miritim, Zin Azman Md Yunus berkata, kapal tangki MT Ceres 1 yang ditemui pada kedudukan 28 batu nautika timur laut Pulau Tioman dengan dua bot tunda sedang menundanya.
"Kapal peronda luar pesisir (OPV) KM PEKAN milik Maritim Malaysia berjaya mengesan dan memintas kapal tangki MT Ceres I sekitar jam 1.20 pagi.
"Kedua-dua bot tunda terbabit yang disyaki terlibat dalam membawa lari kapal tangki MT Ceres I sudah ditahan.
"Maritim Malaysia dengan kerjasama pihak Jabatan Laut Malaysia (JLM) akan melaksanakan siasatan lanjut insiden kejadian dengan penemuan semula kapal MT Ceres I," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, hasil tinjauan udara pesawat amfibia Bombardier CL 415 MP milik Maritim Malaysia yang menjalankan tinjauan udara pada Sabtu telah menemui kesan tumpahan minyak di lokasi kejadian.
"Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut dimaklumkan mengenai penemuan ini dan akan melakukan pemantauan lanjut dalam masa terdekat," ujarnya.
Sebelum itu pada Sabtu, MT Ceres 1 yang berdaftar di Republik Sao Tome and Principe didapati tiada di lokasi kejadian pada pagi Sabtu ketika operasi Carilamat dilakukan.
Sementara sebuah lagi kapal iaitu MT Hafnia Nile yang berdaftar di Singapura dikesan di Timur Pulau Pemanggil, Mersing selepas hanyut 52 batu nautika dari lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!