Protes Bangladesh: Kementerian Luar pertimbang semua opsyen, evakuasi jika perlu

Penunjuk perasaan anti-kuota bertempur dengan polis di Dhaka. Foto AFP
Penunjuk perasaan anti-kuota bertempur dengan polis di Dhaka. Foto AFP
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Luar dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia mempertimbangkan semua opsyen yang ada, termasuk evakuasi, jika perlu dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Bangladesh susulan situasi mencabar di negara itu.

Menurutnya, pada masa ini, pelajar Malaysia yang terkesan dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Tinggi demi keselamatan mereka.

"Kementerian Luar Negeri ingin menegaskan bahawa keselamatan rakyat Malaysia di luar negara adalah keutamaan kami dan atas dasar ini, pelajar Malaysia yang terkesan dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Tinggi demi keselamatan mereka.

"Kementerian ini memahami kebimbangan rakyat Malaysia terhadap keselamatan ahli-ahli keluarga mereka di Bangladesh. Selain menilai dengan teliti akan perkembangan terhadap situasi semasa.

"Kementerian ini bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi serta agensi lain yang berkaitan dalam usaha untuk membantu pelajar Malaysia di Bangladesh," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada masa sama, Kementerian Luar mengingatkan rakyat Malaysia berhati-hati terhadap individu yang menjanjikan bantuan untuk rakyat Malaysia di Bangladesh.

Semua pelajar Malaysia juga diminta berhubung dan bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan melakukan semakan dengan menghubungi bilik operasi.

"Kementerian Luar Negeri menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh untuk mengelakkan kawasan protes, kekal berwaspada, dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa tempatan selaras dengan perintah berkurung yang sedang berkuatkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Kementerian ini memantau rapat situasi ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan beribu-ribu pelajar Bangladesh berdemonstrasi sejak Julai selepas mahkamah mengembalikan kuota dalam pekerjaan di sektor kerajaan yang dimansuhkan pada 2018.

Susulan itu, negara berkenaan mengumumkan penutupan semua universiti awam dan swasta susulan protes berkenaan semakin memuncak minggu ini.

Lebih daripada 100 orang terkorban dalam protes itu sejak keganasan tercetus pada Selasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!