Keadilan untuk Najib antara usul dibawa pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Pekan

Kain rentang mendesak keadilan untuk Najib menghiasi pekarangan Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah sebelum berlangsungnya Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Pekan pada Ahad.
Kain rentang mendesak keadilan untuk Najib menghiasi pekarangan Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah sebelum berlangsungnya Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Pekan pada Ahad.
A
A
A

PEKAN - Usul pembebasan dan keadilan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak antara yang dibawa pada Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Pekan pada Ahad.

Ketua UMNO Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, UMNO bahagian itu masih merasai kehilangan dengan ketiadaan bekas pemimpin yang telah menabur bakti di Pekan selama 41 tahun.

Menurutnya, UMNO Pekan ibarat anak didik Najib dan sudah tentu mereka merasai ketiadaan bekas Perdana Menteri yang juga Ketua UMNO bahagian itu.

"Kita telah kehilangan seorang pemimpin yang suatu ketika dahulu banyak berjasa untuk negara, negeri dan bumi Pekan ini.

"Justeru UMNO Pekan sentiasa mencari jalan dan mendoakan Najib diberikan keadilan sewajarnya," katanya.

Mohammad Fakhruddin (kiri) mengiringi Onn Hafiz melakukan pemeriksaan perbarisan sebelum memulakan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah pada Ahad.
Mohammad Fakhruddin (kiri) mengiringi Onn Hafiz melakukan pemeriksaan perbarisan sebelum memulakan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Pekan dirasmikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini pada Ahad.

Mohammad Fakhruddin berkata, semua sedia maklum proses mendapatkan keadilan untuk Najib bukan perkara mudah.

Artikel Berkaitan:

"Pemimpin UMNO sendiri telah berusaha ke arah itu dan diharapkan agar suara membela Najib tidak terhenti sebaliknya diteruskan sehingga beliau (Najib) mendapat pembelaan sewajarnya.

"Kami UMNO Pekan benar-benar berharap agar Datuk Seri Najib dapat dibebaskan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti," katanya.

Beliau berkata, sebagai bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Najib dilihat berupaya menyatukan dan memperkuatkan kembali UMNO.

"UMNO Pekan hanya mengusulkan namun pada masa sama berusaha ke arah itu," katanya.

Mohammad Fakhruddin (tiga dari kiri) mengiringi Onn Hafiz (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran laman sesawang UMNO Pekan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah pada Ahad.

Tambah beliau, semua ahli terutama UMNO Pekan diharap bersama-sama mempertahankan pemimpin itu dan mengenang jasa beliau kepada negara, negeri dan daerah Pekan selama ini.

Sementara itu, Mohammad Fakhruddin turut berkata, usaha merampas kembali Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis dari Perikatan Nasional (PN) juga akan dibawa pada persidangan kali ini.

"Kita berhasrat agar dapat rebut kembali kerusi itu pada PRU16 nanti.

"Dahulu rakyat mungkin kurang mendapat maklumat dan kefahaman yang tepat mengenai perjuangan UMNO, namun kini kita dapati rakyat kembali rindu zaman pemerintahan Najib dahulu.

"Situasi itu diharap dapat memberi kesedaran kepada pengundi untuk menolak politik persepsi sebaliknya menyokong parti yang terbukti mampu membela nasib rakyat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!