RM40 juta atasi masalah pengairan sawah padi di Kelantan

Tuan Mohd Saripudin (tujuh dari kanan) bergambar bersama pesawah di Gong Manok, Semerak.
Tuan Mohd Saripudin (tujuh dari kanan) bergambar bersama pesawah di Gong Manok, Semerak.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kerajaan Kelantan menunggu peruntukan berjumlah RM40 juta daripada Persekutuan bagi menyelesaikan masalah pengairan dan saliran di kawasan sawah padi luar jelapang di Gong Manok, Semerak, di sini.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, berkata, permohonan peruntukan itu dibuat oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak, baru-baru ini.

Katanya, jika diluluskan, peruntukan itu mampu membantu kira-kira 200 petani yang mengusahakan tanaman di tanah seluas lebih 323 hektar.

“Petani-petani di kawasan ini mengalami masalah tidak cukup bekalan air yang menjejaskan tanaman mereka dan kerajaan negeri mengadakan sesi libat urus dengan IADA bagi mencari jalan penyelesaian.

“Setakat yang dimaklumkan, permohonan peruntukan RM40 juta sudah dibuat supaya masalah air diatasi dan kawasan berpotensi tanaman padi Gong Manok menyumbang lebih banyak hasil padi di Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas Program Melabuh Tukun Tiruan (Konservasi) Negeri Kelantan Jabatan Perikanan Malaysia bagi Tahun 2024 di Kompleks Pelabuhan Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali, di sini, pada Ahad.

Penyelesaian masalah pengairan dan saliran di kawasan sawah padi membantu tingkat hasil padi.
Penyelesaian masalah pengairan dan saliran di kawasan sawah padi membantu tingkat hasil padi.

Menurut beliau, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan segera berjumlah RM50,000 bagi membeli pam-pam bergerak dan pelaksanaan kerja-kerja membersihkan saliran.

“Kami juga membina kolam-kolam takungan air dan telaga-telaga tiub sementara menunggu peruntukan lebih besar disalurkan.

Artikel Berkaitan:

“Saya memahami kesusahan dialami pesawah dan amat berharap peruntukan diluluskan bagi membantu meringankan bebanan mereka,” katanya.

Tuan Mohd Saripudin memberitahu, petani-petani terbabit mengalami masalah bekalan air di sawah yang menyebabkan tanaman padi hanya dapat dilakukan tiga kali dalam tempoh dua tahun.

“Mereka bergantung kepada hujan hujung tahun dan menunggu bulan Ogos atau September untuk mula menyemai benih padi.

“Jika masalah air dapat diatasi, mereka boleh menanam padi sebanyak dua musim dalam setahun,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!